Berita Utama

Persetujuan majoriti MP mampu selesai konflik perundangan Sivil, Syariah

Mahkamah Sivil perlu rujuk kepada Mahkamah Syariah isu berkait Islam

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Hanya dengan persetujuan dua pertiga Ahli Parlimen mampu menyelesaikan konflik perundangan dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah menerusi pindaan Perlembagaan .

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, penyelesaian itu juga dapat dicapai dengan persetujuan majoriti daripada para hakim.

“Kalau kita tak dapat dua pertiga daripada 222 Ahli Parlimen, sukar nak laksanakan dan macam-macam perkara akan berlaku.

“Kita nak pinda Perlembagaan Persekutuan itu supaya ia jelas dan tidak akan ada satu perbahasan di mahkamah nanti, ini bidang kuasa siapa dan itu bidang kuasa siapa.

“Malah, di Mahkamah Persekutuan nanti, sesuatu perkara akan ditafsir dengan tuntas dan tidak boleh dibuka lagi selepas ini,” katanya dalam Wawancara Eksekutif di TV Pertiwi malam tadi.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, negara kita mengamalkan dua sistem perundangan iaitu Sivil dan Syariah.

Jelasnya, kedua-dua sistem perundangan itu secara berasingan mempunyai bidang kuasa masing-masing.

Justeru, apabila terdapat pengasingan kuasa itu, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak patut bersaing sebaliknya perlu saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Katanya, ada bidang kuasa yang diberi kepada Mahkamah Sivil dan ada kuasa diberi kepada Mahkamah Syariah dan kedua-kedua bidang kuasa ini tidak bersaing antara satu sama lain.

Barulah formula yang telah digarap supaya ‘completing each other’ (melengkapi antara satu sama lain) itu akan dapat dilaksanakan dengan baik, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, ketika ini Mahkamah Sivil lebih mengatasi Mahkamah Syariah meskipun bidang kuasa itu diberi kepada Mahkamah Syariah.

Sebagai contoh, Mahkamah Sivil diberi kuasa untuk mentafsir Perlembagaan, namun dalam Perlembagaan terdapat isu-isu berkaitan agama Islam.

“Seharusnya Mahkamah Sivil merujuk kepada Mahkamah Syariah apakah isu berkait dengan Islam sebelum Mahkamah Sivil membuat sesuatu keputusan,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button