Berita Utama

Pulau Pinang ambil tindakan undang-undang jika Kedah ancam bekalan air

Kedah diminta patuhi peraturan ketika laksana projek libat Sungai Muda

GEORGETOWN, 11 Syaaban 1442H, Khamis – Pulau Pinang akan mengemukakan bantahan kepada Kerajaan Persekutuan atau memulakan tindakan undang-undang sekiranya Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor melaksanakan projek yang mengancam bekalan air di di negeri ini. 

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sebarang projek yang dilaksanakan oleh Kedah yang melibatkan Sungai Muda, di hulu muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang, mesti mematuhi perundangan dan peraturan. 

Beliau menegaskan, sejak tahun 1973, Pulau Pinang secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa membayar kepada Kedah. 

“Tiada pembayaran yang berlaku kerana tidak ada alasan perundangan bagi Pulau Pinang membayar Kedah. Pulau Pinang tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, MoU atau kontrak untuk membayar Kedah. 

“Sekiranya Menteri Besar Kedah (MB) ini berpendapat bahawa beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap. 

“Sekiranya projek beliau memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang, kita akan bertindak segera untuk menghentikannya serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kon Yeow berkata, Pulau Pinang akan terus mematuhi undang-undang dalam abstraksi air mentah dari Sungai Muda tanpa pembayaran kepada Kedah. 

Manakala Kedah juga mesti mematuhi undang-undang negeri dan negara dalam melaksanakan projek yang melibatkan Sungai Muda.

“Sekiranya projeknya menimbulkan penderitaan bagi penduduk Pulau Pinang dan kerugian kepada perniagaan yang beroperasi di Pulau Pinang, kita mungkin akan saman beliau atas kos dan kerosakan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di Malaysia, terdapat undang-undang negeri dan Persekutuan. 

Justeru, mana-mana projek ‘baharu’ Sungai Muda di Kedah di hulu muka sauk Lahar Tiang, Pulau Pinang mesti mematuhi semua undang-undang yang berkaitan. 

Tegasnya, projek sedemikian tidak boleh memberi kesan buruk atau menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada 1.776 juta orang di Pulau Pinang.

“Semua skim berkaitan air yang dicadangkan Menteri Besar Kedah juga tertakluk kepada kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Berkemungkinan Kedah juga mungkin memerlukan dana Persekutuan, dalam bentuk pinjaman atau geran untuk menjalankan projek berkaitan air.  

“Oleh itu, Menteri Besar Kedah boleh mencadangkan, tetapi Kerajaan Persekutuan dan/atau undang-undang negara boleh melupuskannya,” katanya.

Beliau berkata, secara ringkasnya, Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Disokong oleh undang-undang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus melindungi kepentingan Pulau Pinang, berkenaan dengan jaminan bekalan air. 

“Oleh itu, mengenai Sungai Muda, kita akan terus menegakkan hak riparian Pulau Pinang untuk mengabstrak air mentah, tanpa caj, dari sungai yang mengalir melalui wilayah negeri kita.

“Kita yakin bahawa Kedah tidak mempunyai hak dari sudut perundangan untuk menuntut apa-apa pembayaran. Inilah sebabnya mengapa kita bersedia untuk berjumpa mereka di mahkamah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button