Berita Utama

Najib dedah aset bernilai RM4.49 juta

Turut memiliki wang sebanyak RM1.24 juta dalam Affin Bank dan pelaburan ASB berjumlah RM2.52 juta

KUALA LUMPUR, 4 Muharram 1444H, Selasa – Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan aset yang dimilikinya termasuk beberapa lot tanah serta rumah di Pahang dan Selangor, beberapa kenderaan mewah jenis Mercedez-Benz dan Bentley Continental Flying Spur serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM4.49 juta.

Pendedahan itu dibuat selepas SRC International Sdn Bhd dan sebuah anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, selaku plaintif memperoleh perintah injunksi mareva daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang Najib selaku defendan memindah atau melupuskan mana-mana asetnya bernilai sehingga RM42 juta.

Injunksi mareva merupakan perintah sementara yang mengekang Najib daripada melupuskan asetnya sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.

Pada 24 Mac lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin yang membenarkan permohonan SRC dan Gandingan Mentari dalam saman ke atas Najib turut mengarahkan Ahli Parlimen Pekan itu mendedahkan kepada peguam plaintif secara bertulis aset beliau di dalam atau luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta dalam tempoh 30 hari selepas perintah tersebut diserahkan kepadanya.

Mohd Arief Emran turut mengarahkan Najib supaya tidak mengalih, melupus, mengendali atau mengurangkan nilai asetnya di dalam dan luar Malaysia bernilai sehingga RM42 juta sehingga keputusan akhir saman itu dikeluarkan.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu dibenar mengeluar dan membelanjakan wang daripada sebuah akaun bank atau sumber lain tidak melebihi RM100,000 sebulan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman.

Berdasarkan dokumen diperoleh pihak media hari ini, Najib, 69, mendedahkan aset dimiliki beliau sehingga 30 Jun tahun ini di dalam afidavit tambahan yang difailkannya pada 20 Julai lepas menerusi Tetuan Shafee & Co.

Antaranya beberapa lot tanah dan rumah di Pekan, Kuantan, Bentong dan Genting Highlands di Pahang serta Semenyih di Selangor yang keseluruhannya bernilai RM460,987; lima kenderaan mewah jenis Mercedez-Benz dan sebuah Bentley Continental Flying Spur dengan empat daripadanya adalah hadiah besan Najib dari Kazakhstan, sebuah motosikal Honda EX-5 dan motosikal Kawasaki ZG (hadiah), yang keseluruhannya bernilai RM252,000.

Najib turut mendedahkan beliau memiliki wang sebanyak RM1.24 juta dalam akaun Affin Bank dan wang deposit pelaburan Amanah Saham Nasional Berhad berjumlah RM2.52 juta.

Menerusi afidavit yang difailkan pada 25 April lepas, Najib mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai aset berjumlah RM42 juta.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Farhan berkata, pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Amarjeet Singh hari ini, pihaknya memaklumkan bahawa permohonan bagi penangguhan prosiding kes saman SRC terhadap Najib ditarik balik.

“Kami menarik balik permohonan itu dengan syarat pernyataan pembelaan untuk menjawab saman itu perlu difailkan dalam tempoh dua bulan bermula hari ini,” katanya yang turut memaklumkan pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 13 Oktober ini.

SRC, anak syarikat 1MDB dan Gandingan Mentari Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh SRC, memfailkan writ saman pada 7 Mei tahun lepas mendakwa Najib melakukan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa serta memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana berkenaan.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas beliau didapati bersalah menyelewengkan RM42 juta dana SRC.

Kes itu akan didengar oleh Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button