Berita Utama

Jangan pandang remeh, hapuskan kartel PDRM hingga akar umbi

Kerajaan perlu bertegas, ini soal keselamatan dan maruah negara

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengambil tindakan segera bagi membendung ketirisan yang sedang berlaku di dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini mengenai kartel PDRM mengejutkan semua pihak.

Katanya, isu berkenaan tidak boleh dipandang remeh kerana melibatkan integriti penjawat awam khususnya pasukan keselamatan negara.

Justeru, beliau mendesak kerajaan yang diterajui Perikatan Nasional (PN) bertegas dalam isu ini.

“Kita ingin menegaskan, ini soal keselamatan dan maruah negara. Ini adalah soal survival generasi mendatang. Ini adalah isu masa depan negara kita yang seakan semakin muram diselaputi mendung yang tiada kesudahannya.

“Hapuskan racun dan barah kartel ini sehingga ke akar umbinya jika kita masih ingin melihat cahaya di hujung nasib bangsa dan negara kita,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hamid mendedahkan sekelompok pegawai dalam PDRM cuba mencaturkan keadaan dan mencemar imejnya dengan tujuan menjatuhkan beliau.

Sebagai Ketua Polis Negara, beliau berkata, gerakan sulit itu akan ditangani dengan sewajarnya, sebelum menjadi lebih parah kerana kumpulan itu mahu menguasai semua jawatan utama dalam PDRM.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button