Berita UtamaDunia

Lebih 500 jadi mangsa rogol dalam pertempuran di Ethiopia

Wanita cerita dirogol pelaku bersenjata di hadapan ahli keluarga

TIGRAY, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Lebih 500 kes rogol dilaporkan di lima klinik wilayah Tigray, Ethiopia, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi itu memberi amaran jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi tetapi tiada rekod kerana kekurangan perkhidmatan kesihatan dan stigma masyarakat.

“Mangsa ceritakan mereka dirogol pelaku bersenjata, lebih tragis apabila dirogol di hadapan ahli keluarga sendiri. 

“Bahkan, adik atau abang lelaki turut dipaksa merogol ahli keluarga mereka sendiri dengan ancaman keganasan,” kata wakil koordinator bantuan PBB di Ethiopia, Wafaa Said dalam taklimat kepada negara anggota PBB di New York.

Dia memberitahu, sekurang-kurangnya 516 kes rogol telah dilaporkan oleh lima klinik perubatan di Mekelle, Adigrat, Wukro, Shire dan Axum.

“Berdasarkan fakta kebanyakan kemudahan kesihatan tidak berfungsi dan juga stigma  berkaitan rogol, mungkin jumlah sebenarnya jauh lebih tinggi,” katanya.

Pertempuran di Tigray berlaku pada November antara pasukan kerajaan dan bekas parti pemerintah di wilayah itu, Tigray People’s Liberation Front.  

Jurucakap petugas kecemasan pemerintah di Tigray, Redwan Hussein, Jurucakap Perdana Menteri, Billene Seyoum, Ketua pentadbiran sementara Tigray, Mulu Nega, Menteri Luar Negeri Eritrea, Osman Saleh Mohammed dan Menteri Penerangan Eritrea, Yemane Gebremeskel tidak menjawab panggilan dan mesej ketika diminta memberi komen mengenai kenyataan PBB itu.

Keganasan di Tigray telah mengorbankan ribuan orang dan memaksa ratusan ribu penduduk lari dari rumah mereka di kawasan pergunungan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button