Berita Utama

MAQIS rampas daging kambing import dari Australia tiada logo halal

Daging segar seberat 1,160 kilogram itu bernilai RM56,614

SEPANG, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 1,160 kilogram daging kambing segar yang diimport dari Australia bernilai RM56,614 yang tidak memiliki logo Halal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu lepas.

Pemangku Pengarah MAQIS Selangor Zamri Hashim berkata rampasan itu dibuat selepas pemeriksaan fizikal dilakukan pada 11 pagi di kawasan pemeriksaan MAQIS Kargo KLIA dan mendapati tiada logo halal pada pembungkusan daging tersebut.

“Pengimportan dagangan daging ini tidak mematuhi syarat permit import yang sah dikeluarkan oleh MAQIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata kegagalan mengimport tanpa mematuhi syarat permit menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

“MAQIS sentiasa teliti dan cekap dalam menjalankan pemeriksaan ke atas setiap dagangan yang diimport dan dieksport bagi mengelakkan kemasukan dagangan diimport bersama penyakit dan perosak,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button