Berita Utama

PAU 2020: Usul ‘war cry’ No Anwar No DAP dijangka dibawa perwakilan

Ucapan presiden, naib presiden akan ubah hala tuju landskap politik negara?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 esok sehingga Ahad dijangka bermula dengan ‘tempo’ lebih panas kerana ia berkaitan hala tuju parti menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, ramai yang menantikan hasil perbahasan daripada perwakilan seluruh negara, terutamanya usul memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Melihat situasi semasa, beliau menjangkakan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu untuk persediaan PRU15 akan mendapat sokongan majoriti perwakilan.

“Walaupun ada usaha untuk menggagalkan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO, namun ianya masih gagal mempengaruhi para perwakilan.

“Beberapa lagi usul lain yang mungkin akan dibawa oleh para perwakilan adalah seperti ‘war cry’ No Anwar No DAP. Mungkin ada juga usul semua menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan atau GLC daripada UMNO meletakkan jawatan.

“Lain-lain usul yang mungkin diutarakan adalah supaya PAS membuat keputusan sama ada bersama UMNO atau Bersatu di PRU15,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Berbanding Perhimpunan Agung Tahunan yang lalu, Shahbudin berkata, kali ini Amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ucapan perasmian amat dinantikan.

“Ucapan penangguhan oleh presiden, naib presiden, timbalan presiden akan tentukan hala tuju landskap politik negara.

“Diharapkan PAU 2020 berjalan lancar tanpa kejadian yang tak diingini seperti apa yang berlaku dalam pemilihan dan perhimpunan tahunan PKR beberapa tahun lepas.

“Stabil UMNO maka stabillah keadaan politik negara. Apabila politik menjadi stabil maka keadaan ekonomi juga turut stabil,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button