Berita Utama

PDRM tubuh ‘CCID Scam Response Center’ tangani Macau Scam

Berfungsi penerima maklumat pertama mangsa jenayah tipu panggilan

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah pusat one stop center (OSC) yang dikenali sebagai CCID Scam Response Centre, sebagai mekanisma untuk memerangi jenayah Macau Scam.

Penubuhan pusat itu adalah inisiatif Jabatan Siasatan Jenayah Komersil PDRM yang bermula pada 15 Februari lalu.

Pengarahnya, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sejumlah 5,725 kes dengan kerugian RM254,586,210.94 dilaporkan pada tahun 2019.

“Bagi tahun 2020, sejumlah 6,003 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian RM287,301,039.90.

“Sehingga 24 Mac tahun ini, sejumlah 1,392 kes dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM38,198,730.01,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu adalah peningkatan ketara dan jelas situasi yang perlu segera ditangani.

Melalui penubuhan pusat berkenaan, Zainuddin berkata, ia bertanggungjawab sebagai OSC kepada orang ramai untuk berhubung dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil bagi membuat pertanyaan berkaitan jenayah tipu panggilan atau Macau Scam.

“Pusat ini turut berfungsi sebagai penerima maklumat pertama (iaitu nombor telefon dan maklumat bank akaun yang diberikan oleh sindiket Macau Scam) kejadian penipuan daripada mangsa atau mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan Macau Scam.

“Membantu mendapatkan pengesahan oleh mereka yang menerima panggilan penipuan sama ada panggilan yang mereka terima benar-benar daripada pejabat kerajaan, panggilan penipuan Macau Scam atau panggilan daripada lain-lain kegiatan scam,” katanya.

Katanya, pusat itu boleh dihubungi melalui talian 03-26101559 dan 03-26101599 setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.

“Jabatan ini menyeru orang ramai agar memanfaatkan kemudahan ini bagi memastikan ancaman jenayah tipu panggilan dapat diatasi dan matlamat dapat dicapai.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersil berharap orang ramai dapat bersama-sama berganding bahu dengan pihak polis untuk memerangi kegiatan penipuan atas talian,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button