Berita Utama

Pegawai Imigresen didakwa terima rasuah lepaskan warga asing

Tertuduh gagal laporkan kesalahan sogokan kepada SPRM

SHAH ALAM, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Seorang pegawai Jabatan Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, atas dua pertuduhan berhubung rasuah berjumlah RM25,000 empat tahun lalu.

Tertuduh, Noor Azma Azmin, 39 membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi pertuduhan utama, tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen Gred 19 di Bahagian Kawalan Operasi, Balai Ketibaan KLIA, didakwa menerima rasuah RM25,000 daripada seorang wanita.

Suapan itu didakwa sebagai upah tidak mengambil tindakan terhadap warga China dan Pakistan yang mungkin dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang juga ibu kepada tiga anak boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Manakala pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa dengan jawatan, bahagian dan jumlah suapan sama sebagai balasan membantu melepaskan warga asing itu selain gagal melaporkan kesalahan sogokan kepada SPRM.

Dia didakwa melanggar peruntukan Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (2) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bahagian terminal KLIA, Sepang pada 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd ‘Afif Ali memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin kerana terdapat laporan polis terhadap tertuduh pada 21 Mac lalu oleh saksi utama pendakwaan.

Katanya, saksi membuat laporan polis selepas berasa terganggu apabila dihubungi tertuduh selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM.

Sehubungan itu, tiada jaminan wajar ditawarkan tetapi sekiranya mahkamah membenarkan dengan budi bicara, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 bersama seorang penjamin warganegara.

“Syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan serta tertuduh dilarang mengganggu atau menghubungi saksi kes,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Norliana Ali Othman memohon mahkamah memberi jaminan yang lebih rendah disebabkan tertuduh hanya mampu menyediakan wang RM10,000.

Hakim membenarkan Noor Azma dijamin dengan RM30,000 dengan syarat tambahan oleh pihak pendakwaan.

Bagaimanapun, Rozilah berkata, jaminan akan dibatalkan jika mahkamah menerima tertuduh mencari, menghubungi atau mengunjungi saksi SPRM.

Mahkamah menetapkan sebutan semula pada 30 April depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button