Berita Utama

Pengasas Sugarbook dikenakan waran tangkap

Chan Eu Boon gagal hadir untuk sebutan semula kes dijadualkan hari ini

SHAH ALAM, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas aplikasi Sugarbook, Chan Eu Boon kerana gagal hadir untuk sebutan semula kes yang dijadualkan hari ini.

Majistret Sabreena Bakar @ Bahari berbuat demikian selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asnaf Anuar Sharuddin.

Aliff Asnaf berkata, pihak pembelaan sepatutnya hadir ke mahkamah untuk pengurusan dokumen.

“Bagaimanapun, tertuduh (Eu Boon), peguam dan penjaminnya gagal berbuat demikian hari ini. Oleh demikian, saya memohon waran tangkapan dikeluarkan bagi tindakan lanjut,” katanya.

Sabreena kemudian menetapkan 15 Mei depan bagi sebutan semula kes waran tangkap itu.

Pada 24 Februari lalu, Eu Boon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Mengikut pertuduhan, Eu Boon didakwa menggunakan sebuah laman web dengan menyiarkan sebuah hantaran yang bertajuk ‘Top 10 Sugarbaby Universiti In Malaysia’.

Berdasarkan pertuduhan, hantaran itu dilihat pada 10 Februari lalu kira-kira pukul 6.26 petang di sebuah universiti awam.

Tertuduh berumur 34 tahun didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh sama hantaran dilihat kira-kira pukul 10 pagi.

Pertuduhan terhadap tertuduh yang telah bekerja di Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu itu didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawa peruntukan sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 17 Februari lalu, Eun Boon ditahan di pekarangan sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Penahanan itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan suspek mengaku sebagai pengasas aplikasi Sugarbook.

Namun, lelaki itu dibebaskan tanpa reman selepas mahkamah menolak permohonan reman terhadap lelaki terbabit.

Susulan penolakan reman, pihak pendakwaan telah membuat semakan dan mahkamah membenarkan tertuduh direman.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button