Berita Utama

Pengundi mesti matang, PAS setuju tangguh undi 18

Rakyat tidak matang cenderung pilih kerajaan mentah: Abdul Hadi

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Undi bergantung kepada tahap kematangan, demikian tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung penangguhan pelaksanaan undi 18.

Bersetuju dengan keputusan itu, beliau menjelaskan bahawa penangguhan undi 18 tahun tidak akan memberi kesan kepada PAS.

“Jangan kira undi 18 tahun sahaja. Mestilah ada kematangan. Kita tidak boleh terpengaruh dengan barat. Dalam Islam disebut ‘sinnu rusydi’ – tahun kematangan.

“Kematangan boleh berlaku pada (usia) 16 tahun, 18 tahun, boleh berlaku 25 tahun pun ada, orang 40 tahun tak matang lagi pun ada,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan bahawa PAS mahu rakyat yang matang memilih kerajaan yang matang.

“Kalau rakyat itu mentah pilih kerajaan mentah juga,” katanya sambil menambah bahawa kematangan itu penting.

Sebelum ini, media melaporkan, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

Terdahulu, beberapa pemimpin parti dari sayap pemuda termasuk UMNO, MCA, PKR, Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan DAP menuntut kerajaan menyatakan pendirian mengenai status undi 18 tahun.

Ia susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang mendakwa negara belum bersedia melaksanakan dasar undi 18 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button