Berita UtamaIstimewa

PKP punca tangguh undi 18 sekadar alasan ‘malas’ SPR

Pelaksanaan pengundi 18 tahun bukti prihatin kerajaan terhadap keperluan anak muda

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menjayakan pendaftaran pemilih secara automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Ini kerana, pendaftaran automatik dilihat sangat bersifat mesra teknologi, apatah lagi ketika semua negeri masih dalam tempoh PKP dan pengundi tidak perlu keluar untuk mendaftar sendiri, kata Naib Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA), AD Satiman.

Justeru, beliau menyifatkan kenyataan SPR bahawa pendaftaran automatik dan undi 18 boleh dilaksanakan selepas 1 September tahun depan, hanyalah alasan ‘malas’ untuk mencari penyelesaian.

“Saya secara peribadi melihat ini (pendaftaran automatik dan undi 18) realiti yang perlu direalisasikan. Maka, ia perlu dilaksanakan pada PRU15.

“Jika usaha ini tidak ditangguhkan ia membuktikan keprihatinan kerajaan sekarang terhadap anak muda serta keperluan-keperluan mereka,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, SPR mengatakan pendaftaran pemilih secara automatik hanya dapat dilaksanakan selepas September 2022, berikutan sekatan pergerakan yang telah menghalang perancangan serta persiapannya.

Beberapa anggota Kabinet kerajaan hari ini mempertahankan penangguhan pelaksanaan Undi 18, termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Presiden PAS yang juga Duta Khas bertaraf menteri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengulas perkara itu, AD Satiman berkata, jika kerajaan hari ini enggan atau mengambil ringan terhadap undi 18, ini juga bermakna Perikatan Nasional (PN) mengambil ringan terhadap masa depan golongan muda.

“Kehidupan anak muda lepas universiti amat sukar, susah cari kerja, gaji kecil dan sudah terikat hutang. 

“Maka, mereka pasti mahu terlibat secara langsung dalam proses tadbir urus negara untuk ‘secure’ masa depan mereka,” katanya.

Beliau menganggap tindakan PN menangguhkannya adalah kerana takut dengan dinamika golongan pengundi muda yang mungkin boleh menggugat keselesaan parti itu.

“Anak muda rata-rata kecewa dengan tindakan ahli politik yang dah berusia dalam konteks kegagalan mereka sediakan masa depan terjamin untuk orang muda.

“Sepatutnya giatkan usaha pupuk kesedaran kenegaraan dalam kalangan pengundi, terutama pengundi muda supaya obor yang memandu mereka dalam membuat pilihan adalah rukun dan sistem hidup bernegara, bukan dipandu janji manis ahli politik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button