Berita Utama

Produk ada steroid anabolik, bahan terlarang bernilai RM1.2 juta dirampas

Pastikan ada pelekat keselamatan hologram, nombor pendaftaran

KUALA LUMPUR, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Kira-kira 300 produk mengandungi steroid anabolik, produk psikotropik, bahan terlarang lain serta produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bernilai RM1.2 juta, dirampas dalam satu operasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata, dalam operasi Selasa lepas melibatkan cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya itu, sebanyak 10 premis diserbu.

“Tindakan ini diambil rentetan beberapa aduan awam mengenai penjualan produk steroid anabolik di platform e-dagang. Turut dirampas beberapa peranti digital seperti komputer peribadi, komputer riba dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium memasarkan produk,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Faridah Aryani berkata, penjualan produk-produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Manakala steroid yang dikategorikan sebagai racun terkawal dan kerap disalah guna untuk membina otot badan, menurutnya hanya boleh diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi.

Beliau menjelaskan, selain boleh merosakkan buah pinggang, penggunaaan steroid tanpa pengawasan, boleh menyebabkan penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon di dalam badan.

Beliau menasihati pengguna supaya memastikan produk kesihatan yang ingin dibeli, mempunyai pelekat keselamatan hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL).

Katanya, sebarang penjualan produk tidak berdaftar boleh dilaporkan orang ramai melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my, atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) http://moh.spab.gov.my atau mana mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran atau hubungi  talian 03-78413200. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button