Berita Utama

PRU15: UMNO mesti berani letak calon muslim wibawa, bukan kluster mahkamah

Cemburu buatkan UMNO tersasar, jauhkan parti daripada agenda utama

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Penyakit cemburu dan ‘assabiyah’ kepartian dalam UMNO hanya akan menjadikan parti itu jauh tersasar daripada peta laluan agenda utamanya.

Ketua Penerangan BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, UMNO bukan parti untuk individu yang tamak berkuasa atau dijadikan kuda tunggangan untuk mereka yang mahu kaya dan berkuasa.

Seharusnya, UMNO – parti terbesar orang Melayu – memikirkan kesepakatan bersama parti-parti Melayu Islam membawa agenda Islam dan watan tercinta ini.

“Saya mendoakan supaya pemimpin pemimpin parti Melayu sekarang sentiasa memandang ke hadapan demi maslahah kepentingan Islam dan Melayu serta agenda ummah,” katanya kepada Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian susulan permintaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terhadap ahli partinya, supaya tidak berasa cemburu dalam soal pembahagian kerusi pilihan raya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Bertindak biar bijak, fikir panjang-panjang sama ada buruk baiknya. Memanglah semangat dari bahagian-bahagian nak menolak kerana masing-masing cemburu hati sebab masing-masing dah nampak nak bertanding sebagai calon.

“Sebagai parti saya melihatnya daripada perspektif yang lain, sebagai pemimpin parti di atas bagi saya sengketa ini semata-mata disebabkan oleh cemburu hati tentang pembahagian kerusi,” kata Mohamad.

Senada dengan pandangan itu, Ustaz Zamani berkata, adalah lebih baik sekiranya pembahagian kerusi ini dilihat juga dari roh neraca hikmat, iaitu mana-mana kawasan yang majoritinya Melayu hendaklah calonnya muslim yang berwibawa.

“Ini bermaksud bahawa kerusi tersebut tidak boleh diserahkan percuma kepada bukan muslim.

“Kawasan yang selama ini majoritinya Melayu tetapi ditandingi oleh MCA atau MIC, maka UMNO mesti berani meletakkan calon muslim berwibawa dan juga bukan dari kluster mahkamah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button