Berita Utama

Rakyat perlu hargai jasa, pengorbanan PDRM

Tanpa pasukan keselamatan, masyarakat mungkin tak dapat tidur lena

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – Jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dihargai masyarakat Malaysia.

Pensyarah Jabatan Pengajian Strategi, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Amer Fawwas Mohamad Yasid berkata, rakyat seharusnya memberikan kerjasama penuh kepada PDRM dalam menjalankan amanah yang diberikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat kes PDRM dihina dan diperlekehkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab dengan mencari kesalahan pasukan keselamatan itu.

“Tanpa wujudnya pasukan keselamatan, masyarakat mungkin tidak dapat tidur lena kerana bimbangkan keselamatan daripada ancaman penjenayah.

“Hakikatnya, slogan Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada ialah slogan keramat yang tepat dalam menghuraikan hubungan polis dengan masyarakat di negara ini,” katanya menulis di Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Amer Fawwas berkata, PDRM terbabit dengan pelbagi fungsi kepolisan bagi menjamin keamanan negara serta melindungi keselamatan masyarakat melalui fungsi tugas am.

Beliau berkata, tugas berkenaan membabitkan tradisional kepolisan, pencegahan jenayah, menangani masalah pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tugasan lain berkaitan fungsi melindungi negara daripada sebarang ancaman musuh.

Malah ketika ini, jelasnya, peranan dan fungsi PDRM tidak boleh dilihat dari aspek keselamtan dan ketenteraman awam tetapi dalam konteks lebih besar lagi.

Tambahnya, sejak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh pada 18 Mac 2020, peranan PDRM amat besar dalam memastikan rakyat mematuhi undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kita sering melihat di mana-mana, sekatan jalan raya akan dikawal anggota PDRM dan tentera tanpa mengira masa, waktu serta cuaca.

“Anggota PDRM tanpa mengira penat lelah turut menggadaikan nyawa menjaga keselamatan sempadan negara sama ada di darat mahupun perairan bagi memastikan keselamatan berada dalam keadaan siap siaga, sekali gus tidak dicerobohi penjenayah luar negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button