Berita UtamaPendapat

Sistem ekonomi yang beri impak hidup lebih bermaruah

Rakyat kini 'sandwhich generation' perlu sara anak-anak, ibu bapa sudah tua

1.APABILA kita mendengar orang bercakap tentang ekonomi, kita sering mendengar ahli pakar di kaca televisyen, atau mereka yang mempunyai ‘followers’ di Twitter atau di ClubHouse berbicara mengenai Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) yang telah menguncup sebanyak 5.6 peratus untuk tahun 2020 (BNM, 2021).

Ataupun mereka yang berbincang mengenai RM259 bilion pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan bagi menangani masalah COVID-19 yang melanda negara kita sejak tahun lalu.

2.Tetapi hakikatnya, isu ekonomi adalah isu sebenarnya lebih dekat dengan kita.

Ianya berkaitan dengan kesejahteraan kita sebagai seorang manusia, seorang anak, seorang suami, isteri yang bertanggungjawab ke atas mereka yang bergantung kepada kita.

Sejauh manakah kita boleh berfungsi sebagai seorang manusia?

3.Pandemik ini telah mendedahkan bahawa sistem ekonomi yang sepatutnya memelihara kebajikan rakyat, sekarang berada di dalam keadaan yang rapuh.

3.1 Populasi dunia kini sedang berubah dengan pantas. Fenomena penuaan penduduk sedang melanda negara kita dan negara-negara lain.

Buat pertama kalinya dalam sejarah dunia, terdapat lebih ramai orang berusia lebih 64 tahun berbanding kanak-kanak yang berumur kurang dari 5 tahun.

Lebih ramai orang yang berusia akan hidup dengan kita, menjadi sebahagian daripada populasi negara.

Namun kini, sembilan peratus warga emas kita hidup di bawah garis pendapatan kemiskinan (HIES DOSM, 2009).

•Kita tidak mempunyai infrastruktur awam yang kukuh
•Kos kesihatan meningkat 10 peratus hingga 15 peratus setiap tahun
•71 peratus daripada ahli KWSP mempunyai simpanan persaraan kurang dari RM50 ribu

Adakah kira bersedia menempuhi fenomena global ini? Jauh sekali.

3.2 Isu pengangguran adalah isu yang sentiasa hangat. Kebanyakan daripada rakyat Malaysia bukan sahaja terdedah kepada isu pengangguran, tetapi juga mengalami risiko hilang punca pendapatan.

Zaman sudah berubah, dan pelbagai jenis pekerjaan telah wujud. Pekerja gig dan yang berkerja sendiri (freelancer), sebagai contohm tidak dilindungi oleh apa-apa sistem keselamatan sosial yang wajib di Malaysia ini.

Kalau apa-apa terjadi seperti kemalangan dan sebagainya, mereka berisiko untuk hilang pendapatan, jatuh miskin dan mungkin lebih parah – nyawa mereka.

Yang bekerja di bawah majikan pula, mengalami masalah struktur gaji yang rendah. 1 daripada 2 pekerja di Malaysia mempunyai gaji kurang daripada RM2,400.

Ini lebih rendah daripada gaji hidup wajar, RM2,700 sebulan. Pelaksanaan gaji minima hanyalah dilakukan di Malaysia pada tahun 2013, static berada di para RM1,000 selama tiga tahun sehinggalah dinaikkan kepada RM1,100 pada 2019.

3.3 Untuk kaum wanita pula, sumbangan mereka khususnya kerja-kerja penjagaan tidak formal tidak diiktiraf sebagai satu aktiviti yang menyumbang kepada ekonomi negara.

Jaga anak-anak, ibu bapa yang sudah tua atau ahli keluarga yang sedang sakit, misalnya.

Ini tidak diiktiraf sebagai aktiviti ekonomi. Kaum wanita bukan sahaja bekerja dan menjaga anak-anak, tetapi mereka juga menjadi ‘guru’ di rumah ketika sekolah dalam talian berlangsung.

‘They not only face double burden, but some say triple burden.’

Tambahan lagi, cuti dan faedah bersalin bukan sahaja untuk kaum wanita, tetapi juga kaum bapa, di Malaysia agak pendek berbanding di negara-negara lain.

Ada negara jiran kita, yang memperuntukkan enam bulan ataupun sebulan kepada para bapa untuk membantu para ibu menjaga anak-anak yang baru lahir.

4. Rakyat rata-ratanya tersepit. Kita adalah sandwhich generation. Perlu menyara anak-anak dan juga menjaga ibu-bapa yang sudah tua. Kos hidup yang tinggi membebankan tambah lagi dengan struktur gaji yang rendah.

5. Jadi, kita memerlukan satu sistem ekonomi yang kukuh, bernafas baru yang mengambil kira sudut keselamatan sosial rakyat yang memberikan paras gaji yang bermaruah, mengiktiraf sumbangan wanita dan satu struktur ekonomi yang bersedia menghadapi cabaran fenomena penuaan penduduk.

5.1 Struktur gaji yang rendah perlu diubah supaya kaum belia kita dan rakyat secara keseluruhannya dibayar gaji yang bermaruah untuk hidup yang lebih baik:

a. Penstrukturan gaji yang meletakkan gaji wajar sebagai penanda aras

5.2 Sistem perlindungan sosial yang melindungi semua orang daripada anak-anak kita sehinggalah ibu-bapa kita perlu wujud di negara ini:

a. Infrastruktur awam yang efisien dan dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat
b. Pencen sosial yang asas
c. Perlindungan sosial kepada yang bekerja sendiri, pekerja gig, abang dan kakak rider

5.3 Kita perlu mengiktiraf sumbangan wanita di negara ini. Wanita bukan sahaja menjaga keluarga dan anak-anak, tetapi mereka juga mendidik generasi masa hadapan yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara kelak:

a. Manfaat bersalin kepada ibu yang bakal menimang cahaya mata

6.Tiba masanya kita perlukan nafas baru, idea baru dan wajah baru. Kita perlukan sistem ekonomi yang bukan sahaja fokus kekayaan negara ataupun produktiviti rakyat semata-mata.

Kita berhak untuk menjalani kualiti hidup yang lebih bermaruah dan lebih baik. Bukan sahaja untuk diri kita hari ini, tetapi untuk anak-anak kita dan generasi 10-20 tahun yang akan datang.

Sudah tiba masanya legasi baru bermula.

Fatin Nadhirah Jamalolail
BERJASA Wilayah Persekutuan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button