Berita Utama

‘UMNO kena buang pemimpin korup kalau nak tarik semula sokongan Melayu’

'Reset' dan pilih mereka yang benar-benar perjuang Islam, Melayu

BANGI, 12 Syaaban 1442H, Jumaat – UMNO perlu melakukan perubahan drastik dengan membuang pemimpin yang korup dan banyak mendatangkan masalah, sekiranya mahu menambat hati semula orang Melayu.

Parti Melayu itu juga perlu ‘reset’ – diformat – supaya pemutihan dapat dilakukan dalam kalangan ahlinya dengan penuh berkesan.

Antara ‘reset’ yang perlu dilakukan adalah – di kalangan pimpinan tertinggi UMNO itu dahulu – ahli harus memikirkan sama ada mereka diperlukan ataupun patut diganti dengan neraca prestasi mereka sebelum ini dalam memperjuangkan asas perjuangan UMNO iaitu ‘ABATA’ (agama, bangsa dan tanah air).

Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris mendakwa, ramai kalangan pemimpin UMNO petah bercakap mengenai ABATA, tetapi realitinya kepetahan ucapan mereka itu adalah retorik belaka.

Ini kerana, ketika UMNO jatuh tersemban mereka yang petah itulah antara yang mahu melompat parti, dakwanya.

“Mereka seperti inilah yang sepatutnya dibuang dan tidak layak lagi berada di atas pentas utama UMNO.

“Alasan tidak layak ini diperkuatkan kerana mereka adalah antara yang selalu buat hal dengan kenyataan-kenyataan yang menyusahkan ahli-ahli UMNO golongan marhaen sama ada hendak ikut melaksanakan tugas atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Mengulas lanjut, Haji Rashidi berkata, sebagai contoh ada kalangan pemimpin secara sendirian berkata akan menjaga hubungan perpaduan ummah, tetapi beberapa bulan kemudian membuat kenyataan kononnya tidak mustahil UMNO akan bekerjasama dengan DAP atau PKR.

“Kecelaruan ini harus dihentikan kerana kenyataan sedemikian menjadi cerminan dalaman UMNO padahal majoriti ahli UMNO tidak bersetuju,” katanya.

Tatkala ini, beliau mengibaratkan UMNO sebagai pohon yang sedang diracuni dari luar oleh parasit-parasit yang dengki dengan kejayaan parti itu dan juga kulat-kulat yang tumbuh dalam pohon yang tamak mengumpul ghanimah negara untuk kepentingan diri sendiri.

“Tegas saya katakan UMNO perlu ‘reset’ dan diterajui oleh mereka yang benar-benar mahu menjaga dan memperjuangkan ABATA.

“Tidak ada jalan lain melainkan kumpulan korup ini mesti dicantas segera sebelum mereka melakukan lebih banyak kerosakan bukan hanya dalam parti tetapi juga kesannya tertempias kepada Melayu keseluruhannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button