Berita UtamaPendapat

Dasar Wanita Negara masih belum berjaya diperkasakan: Pemudi BERJASA

Imej merendahkan maruah wanita masih lagi kelihatan

1. SATU ketika dahulu kita biasa mendengar ungkapan “ Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”. Bila direnung sedalamnya, ungkapan ini memang ada asasnya.

2. Jika kita membicarakan soal pembinaan sebuah negara, kita tidak dapat lari dari mengiktiraf peranan golongan wanita yang menjadi tulang belakang kepada sebuah kemajuan serta peradaban sesebuah negara dan ketamadunan.

3. Saya ingin mengajak kita menelusuri satu sirah ketika penghijrahan Nabi Muhammad SAW bersama Saidina Abu Bakar dari Mekah ke Madinah.

Dalam kisah perjalanan agung ini, sejarah merakamkan peranan signifikan Saidatina Asma’ Binti Abu Bakr dalam peristiwa tersebut.

Dengan misi yang berbahaya ditambah dengan keadaan diri yang sedang sarat mengandung, Asma’ menggalas tugas menghantar bekalan makanan kepada baginda berdua sehingga misi penghijrahan berlaku.

Hasilnya, sumbangan yang nampak kecil itu sebenarnya sangat membantu dalam membentuk sebuah negara Islam Madinah.

4. Dalam konteks negara kita yang tercinta pula, peranan kaum wanita dalam pembangunan sebuah negara juga adalah besar.

Sejak tahun 1970-an, perangkaan menunjukkan penghijrahan wanita dari desa ke kota telah meningkat dengan pesat.

Kesan perubahan sosio-budaya ini telah mewujudkan masyarakat bandaran dan masyarakat yang menuju ke arah zaman perindustrian matang yang telah meningkatkan pelbagai industri perkhidmatan, perindustrian dan sebagainya.

5. Setelah lebih 60 tahun merdeka, fungsi dan peranan golongan wanita dalam membangunkan negara semakin besar dan signifikan.

Namun disebalik kemajuan tersebut, tersimpan realiti pahit yang perlu dirawat secepat mungkin.

6. Pembangunan teknologi yang pesat tanpa dipandu oleh wahyu telah menyumbang kepada terhakisnya jati diri dan identiti sebenar remaja dan muda-mudi kita.

Kemasukan budaya luar yang mengagungkan artis K-Pop secara berlebihan contohnya, tidak ketinggalan juga pembikinan video gelek dengan aksi menggiurkan yang menggunakan aplikasi Tik Tok, serta sesetengah golongan ini sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat pengikut yang ramai di media sosial seperti Youtube amat mendukacitakan.

7. Dasar Wanita Negara yang dirangka untuk menghapuskan gambaran-gambaran yang merendahkan maruah dan imej wanita nampaknya masih belum berjaya diperkasakan.

Pertambahan pendaftaran pengguna laman sosial Sugar Book, iaitu satu platform yang mempromosikan pelacuran secara terbuka bertambah dengan pesat di negara kita.

8) Selain itu, Dasar Wanita Negara berkaitan undang-undang undang‐undang perlindungan daripada keganasan rumahtangga, pemberhentian dan eksploitasi dalam pekerjaan dan bagi mangsa rogol dan keganasan juga kelihatan masih belum berjaya diperkasakan.

9) Buktinya, terdapat peningkatan laporan mengenai keganasan rumah tangga yang direkodkankan oleh perkhidmatan hotline Talian Kasih, di mana sebanyak lebih daripada tiga kali ganda pada bulan Mei berbanding pada tahap awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.

10) Justeru, Pemudi BERJASA bersama sayap Wanita BERJASA akan memperjuangkan isu ini dengan lebih serius demi memperkasakan institusi kekeluargaan yang menjadi nukleas dalam kestabilan kelompok masyarakat serta negara.

11) Pemerkasaan kesedaran serta latihan dalam bentuk kempen-kempen kesedaran, pendidikan berterusan melalui saluran media sosial serta kerja-kerja kebajikan akan terus dilaksanakan bagi melahirkan modal insan yang berwibawa dan berintegriti.

12) Bersempena dengan bulan Sambutan Hari Wanita pada bulan Mac ini, Pemudi Berjasa ingin menyeru seluruh remaja, belia dan wanita Malaysia dengan seruan 3B:

a) Bangunkan potensi diri dan didik diri agar mempunyai matlamat hidup yang jelas
b) Bina Identiti Watan Malaysia yang memiliki jatidiri Melayu-Islam
c) Bersama Berjasa dalam mengubah lanskap politik tanah air, serta memilih kepimpinan baru negara yang berwibawa dan mempunyai agenda

13) Akhir seruan, marilah kita mengambil iktibar daripada kisah-kisah wanita yang disebut di dalam Al Quran seperti Maryam yang menjaga kehormatannya,

Asiah isteri Firaun yang teguh jati dirinya, serta Balqis yang memimpin watannya menuju kepada agama.

Teguh rumah kerana tiang, teguh bangsa kerana ibu yang mendidiknya.

Wallahu’alam.

Nor Azliza Rajiain
Ketua Pemudi
Parti BERJASA Malaysia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button