Berita UtamaDunia

32 terbunuh dalam nahas kereta api di Mesir

Brek kecemasan dipercayai ditarik individu tidak dikenali

KAHERAH, 13 Syaaban 1442H, Sabtu – Sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dan 66 cedera setelah dua kereta api bertembung di selatan Mesir, semalam, kata Kementerian Kesihatan.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, puluhan ambulans bergegas ke lokasi kejadian di daerah Tahta, wilayah Sohag, sekitar 460 kilometer (285 batu) selatan ibu kota Kaherah.

“32 orang terbunuh dan 66 cedera. Mereka dibawa ke hospital,” kata kenyataan itu.

Rakaman video yang dilihat oleh AFP menunjukkan beberapa kereta terbalik.

Pihak berkuasa kereta api Mesir mengatakan bahawa dua kereta api bertembung menyebabkan puluhan korban jiwa setelah brek kecemasan ditarik oleh ‘individu yang tidak dikenali.’

Brek itu menyebabkan salah satu kereta api berhenti dan yang lain melanggarnya dari belakang.

Justeru, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut, katanya.

Mesir telah dilanda dengan kemalangan kereta api maut dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang banyak disalahkan kerana infrastruktur tidak mencukupi dan penyelenggaraan buruk.

Salah satu yang paling dahsyat berlaku pada tahun 2002, di mana 373 orang mati ketika kereta api yang sesak di selatan Kaherah meletup, dan sejak itu banyak kemalangan maut.

Pada bulan Mac tahun lalu, sekurang-kurangnya 13 orang cedera ketika dua kereta api penumpang bertembung di Kaherah, menyebabkan penangguhan perkhidmatan kereta api di seluruh negara.

Pada masa itu, pengurus kereta api menyalahkan lampu isyarat kerana tidak berfungsi dalam cuaca buruk.

Manakala pada 2019, sebuah kereta api tergelincir dan terbakar di stesen kereta api utama Kaherah yang mengorbankan lebih daripada 20 orang serta mendorong menteri pengangkutan mengundurkan diri.

Kemalangan hari Jumaat itu berlaku ketika Mesir sedang menghadapi satu lagi cabaran pengangkutan utama, dengan sebuah kapal kontena raksasa menghalang Terusan Suez dan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang besar di kedua-dua hujung jalan pelayaran strategik.

MV Ever Given, yang lebih panjang dari empat lapangan bola sepak, telah tersangkut secara menyerong di seluruh Terusan Suez sejak Selasa, menutup jalan air dari kedua arah.

Kapal tunda dan kapal korek berusaha pada hari Jumaat untuk membebaskan kapal tersebut kerana syarikat terpaksa mengubah hala perjalanan perkhidmatan dari terusan itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button