Berita Utama

4,471 kes kanak-kanak hilang dari 2017

4,399 telah dijumpai semula manakala 72 lagi masih hilang

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1443H, Isnin – Sebanyak 4,471 kes kehilangan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dilaporkan dari 2017 hingga 1 September tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada jumlah itu, 4,399 orang kanak-kanak telah dijumpai semula manakala 72 orang lagi masih hilang.

Bagi kes orang hilang berumur 18 tahun dan ke atas pula, beliau berkata sebanyak 6,074 kes dilaporkan dalam tempoh sama dengan 4,871 orang telah dijumpai semula manakala 1,203 orang masih hilang.

“Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini adalah dengan mewujudkan Portal Kanak-kanak Hilang. Maklumat berkenaan dipaparkan di portal https://knk2hilang.rmp.gov.my yang boleh diakses oleh orang awam.

“Portal ini memberi peluang kepada masyarakat untuk bekerjasama mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat dan berkesan dengan menyalurkan maklumat yang terkini melalui Internet,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Ismail menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang ingin tahu mengenai statistik bilangan kes kehilangan orang dan kanak-kanak yang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum ini termasuk bilangan orang telah ditemui dan masih belum ditemui serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah itu.

Selain itu, beliau berkata, PDRM juga menjalin kerjasama dengan 40 agensi lain melalui NUR Alert iaitu sistem amaran awal bagi kes kehilangan kanak-kanak untuk membantu agensi penguatkuasa undang-undang dalam menjalankan siasatan dan membawa kepada tangkapan yang pantas.

“PDRM turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam penganjuran program-program kesedaran untuk mengelakkan kes ini daripada berulang. Kempen Kesedaran Kanak-kanak atau Child Awareness Campaign (CAC) bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa kanak-kanak mudah terdedah menjadi mangsa dan adalah penting untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip, Ismail berkata berdasarkan siasatan PDRM, antara sebab orang hilang adalah mengalami masalah keluarga atau kurang mendapat perhatian keluarga; keluar rumah kerana mengikut rakan sebaya atau kekasih untuk mencari kebebasan; kemurungan; nyanyuk, masalah mental atau tidak siuman dan masalah jenayah.

Selain itu, katanya orang hilang juga merangkumi orang yang mencari pekerjaan, hilang daripada keluarga mungkin ada perselisihan faham dengan keluarga; lari dari pengutip hutang dan penderaan fizikal atau mental.  – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button