Berita Utama

BERJASA tekad jadikan Malaysia kuasa ekonomi serantau digeruni

Pegangan ekuiti Bumiputera akan ditingkatkan kepada 40 peratus

BANGI, 13 Syaaban 1442H, Sabtu – Malaysia di bawah kepimpinan baharu Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) tidak lagi hanya sekadar menjadi negara pengguna.

Tetapi, ia akan dibawa ke tahap di mana negara ini diiktiraf sebagai kuasa ekonomi serantau yang digeruni, dengan ekosistem pelaburan dan perniagaan bertaraf dunia. 

Menegaskan aspirasi itu, Presidennya, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, sumber asli serta hasil mahsul negara akan diurus berdikari tanpa campur tangan atau tekanan luar. 

Sementara kekayaan dibahagi secara adil tanpa diskriminasi terhadap semua terutama bangsa Melayu, Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, tegasnya.

“Di bawah kepimpinan baharu BERJASA, pegangan ekuiti golongan ini akan ditingkatkan kepada 40 peratus dari ekonomi Malaysia.

“Malaysia di bawah kepimpinan baharu BERJASA juga mampu memperkukuhkan industri minyak dan gas sambil menguasai tenaga alternatif atau teknologi hijau. 

“Kita harus berhenti untuk sekadar menjadi negara pengguna. Kini masanya untuk BERJASA memperkenalkan inisiatif ekonomi di mana rakyat sendiri yang menjadi pengeluar utama untuk produk-produk tempatan.

“Daripada kita bergantung dengan keluaran produk dari luar, adalah lebih baik untuk kita kembangkan potensi pengusaha tempatan dalam mengeluarkan produk-produk sendiri,” katanya dalam ucapan dasar Sidang Dewan Kepimpinan Nasional 2021 BERJASA yang diadakan secara maya, hari ini.

Beliau berkata, bermula daripada usaha itu, BERJASA akan mampu mengembangkan industri kecil dan sederhana (IKS) dan seterusnya menjadikan produk-produk ini setanding dengan produk-produk keluaran antarabangsa. 

“Atas dasar inilah, BERJASA komited untuk menambah nilai bidang pertanian dan penternakan serta meningkatkan potensi petani dan penternak ke tahap yang paling maksima,” katanya.

Mewujudkan ‘food security’ dengan menghasilkan sumber makanan sendiri

Dr Badhrulhisham menegaskan, Malaysia mampu menjadi rujukan dunia dalam bidang pertanian berteknologi tinggi, pelancongan, pembuatan serta pengupayaan perniagaan atas talian.

Langkahnya adalah dengan penggemblengan tenaga dalam industri pertanian dan penternakan yang juga akan mewujudkan keselamatan makanan (food security). 

Katanya, keselamatan makanan ini hanya mampu dicapai apabila negara mampu menghasilkan sumber makanannya tanpa bergantung kepada negara luar. 

“Hal ini sangat-sangat kita rasai pada waktu pandemik COVID-19 kali ini. Walaupun negara kita tidak terlalu terjejas dengan kekurangan sumber makanan diwaktu genting ini, tetapi ia sudah cukup menjadi satu ‘wake-up call’ bahawa sudah tiba masanya negara kita meningkatkan keselamatan makanan negara. 

“Janganlah sudah terhantuk baru terngadah. Inisiatif seperti ini pada akhirnya akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang melibatkan pertanian dan penternakan,” katanya.

Bertitik tolak daripada hal itu, beliau berkata, jika bidang pertanian dan penternak serta IKS ini dapat bergerak seiring dan sejalan maka pertumbuhan ekonomi negara juga boleh bergerak secara dinamik. 

“Oleh itu, kita memerlukan pakar-pakar dari pelbagai bidang termasuklah dalam pertanian, penternakan, teknologi digital dan mereka yang arif tentang ekonomi negara untuk bersama-sama dalam gagasan ini. 

“Anda semua merupakan permata bagi memacu negara menjadi sebuah negara yang mampan, berdaya saing dan berdikari,” katanya.

Kelebihan jika wakaf, zakat dimanfaatkan secara optimum

Selain itu, BERJASA juga melihat ekonomi negara perlu dibangunkan menggunakan instrumen wakaf dan zakat secara optimum. 

Katanya, kedua-dua instrumen ini menyokong keberhasilan pengagihan pendapatan negara serta memberi manfaat besar kepada pembangunan sosio ekonomi umat Islam secara makro. 

“‘Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’. Itulah peribahasa yang paling tepat apabila kita bercakap soal wakaf dan zakat ini.

“Walaupun perjalanan masih jauh, BERJASA amat percaya kempen kesedaran tentang peranan wakaf dan zakat kepada pembangunan ekonomi umat Islam secara keseluruhan harus dimulakan sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button