Berita Utama

Buku ‘Somalia Belang Harimau Besi’ dicadang jadi silibus pelajaran

Papar peranan besar tentera Malaysia dalam selamatkan renjer AS

SUNGAI PETANI, 13 Syaaban 1442H, Sabtu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bercadang untuk berbincang bersama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam usaha menjadikan buku ‘Somalia Belang Harimau Besi’ sebagai sebahagian silibus pelajaran di sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, Abd Halim Harun berkata, ini kerana buku itu sangat sesuai dalam menerapkan semangat patriotik dikalangan pelajar dengan kisah benar mengenai pejuangan dan kehebatan tentera Malaysia menghadapi pertempuran di Somalia pada tahun 1993.

“Kita mungkin akan berbincang lanjut dengan bahagian ko-kurikulum KPM sebab Dewan Bahasa (berada) di bawah KPM, jadi agak mudah untuk kita bincang lebih lanjut supaya perkara ini boleh kita usulkan untuk diangkat menjadi sebahagain daripada silibus itu,” katanya seperti dipetik Astro Awani.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, buat permulaan DBP telah mencetak sebanyak 1,000 naskah buku berkenaan.

Katanya, DBP akan bekerjasama dengan Perpustakaan Negara untuk mempromosi buku berkenaan agar ia boleh didapati di rak-rak buku perpustakaan awam dan perpustakaan sekolah di seluruh negara.

“Kalau boleh kita nak menggalakkan lebih ramai lagi yang terlibat dalam tentera bukan setakat darat, laut dan udara supaya datang bekerjasama dengan DBP,” ujarnya.

Buku itu ditulis oleh Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berdasarkan pengalaman peribadinya ketika bertugas di Somalia bersama-sama rakan seperjuangannya, pasukan MALBATT 1 sehingga berjaya dalam misi mereka.

Ia memaparkan peranan dan sumbangan besar tentera Malaysia dalam usaha untuk menyelamatkan renjer Amerika Syarikat (AS) daripada kematian seperti dalam filem Black Hawk Down.

Bagaimanapun, filem itu tidak tepat memaparkan keperwiraan renjer negara dalam ikhtiar untuk mengembalikan keamanan dan kestabilan di Somalia.

Pada hakikatnya, lebih daripada 100 orang tentera Malaysia, daripada MALBATT 1 bertarung nyawa untuk menyelamatkan rakan mereka daripada AS.

Seorang daripada perajurit negara terkorban dalam usaha mengeluarkan tentera AS yang terperangkap di Bakara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button