COVID-19: Kerajaan beri jaminan bantu pulih kehidupan rakyat
Kerajaan beri peruntukan besar dalam tempoh setahun

MUAR, 13 Syaaban 1442H, Sabtu – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan kerajaan akan berusaha membantu memulihkan kehidupan rakyat yang kini terjejas akibat pandemik COVID-19.
Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan segala keupayaan dan usaha yang ada termasuk kewangan untuk memastikan rakyat dapat kembali hidup seperti sebelum COVID-19 melanda.
“Ini bebanan yang sedang kerajaan pikul tetapi saya hendak memberi jaminan selagi kita ada upaya, ada usaha, kita ada keupayaan kewangan…sedikit sebanyak, segala-galanya kita akan gunakan untuk membantu supaya rakyat kembali hidup seperti masa lepas,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika berucap pada Program Sembang Santai bersama Masyarakat Mukim Sungai Terap di Warung Taufik, Sungai Terap di sini, hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir Najib Lep; dan ADUN Bukit Kepong Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Muhyiddin berkata, dalam tempoh setahun COVID-19 melanda negara, kerajaan membelanjakan peruntukan sangat besar untuk membantu rakyat dengan sebahagiannya disalurkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.
Beliau berkata, semua itu membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) prihatin tentang masalah dialami rakyat.
“Ini bukan sikap sombong, angkuh, hendak mendabik dada. Tidak.
“Apa makna…kerana kerajaan ini kerajaan yang prihatin tentang masalah rakyat. Tahu dan sedar, insaf akan kelemahan, kedaifan dan lain-lain masalah yang dihadapi rakyat tidak kira Melayu, Cina, India, orang asal dan sebagainya. Semua kita bantu supaya mereka dapat balik semula seperti sedia kala,” katanya.
Pada program itu, Perdana Menteri sempat menyampaikan sumbangan kebajikan kepada empat individu yang masing-masing menerima kerusi roda serta lampin pakai buang.
Terdahulu sebelum ke Warung Taufik, Muhyiddin dan isteri turut meluangkan masa melawat dan beramah mesra bersama warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Bukit Pasir dan menyampaikan sumbangan hamper kepada 30 warga emas. -Bernama