Berita Utama

Isu potong yuran PTPTN, wang lebihan akan dipulangkan: UTM

Terdapat ralat ke atas data potongan yuran yang dibuat

JOHOR BAHRU, 13 Syaaban 1442H, Sabtu – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan membuat semakan dan mengembalikan semula wang lebihan, kepada pelajarnya yang terlibat dengan isu pemotongan yuran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kadar segera.

UTM menerusi kenyataan menjelaskan, hal ini kerana terdapat ralat ke atas data potongan yuran yang dibuat, yang mana terdapat sebahagian pelajar telah dibuat potongan secara maksimum daripada jumlah pembiayaan pinjaman dan hanya baki iaitu sejumlah RM100 yang didepositkan ke akaun Bank Islam pelajar.

Katanya, semakan akan dibuat Jabatan Bendahari dan wang lebihan akan dikembalikan semula dalam tempoh terdekat, setelah mendapat maklumat potongan daripada Bank Islam.

“Pihak UTM telah mengambil langkah untuk membuat semakan dan proses pemulangan dengan kadar segera ke akaun bank pelajar yang terlibat.

“Pelajar dijangka akan mendapat semula baki tersebut dalam masa terdekat, dijangka Isnin minggu hadapan,” menurut yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, pembiayaan pinjaman PTPTN bagi kelompok pertama semester dua telah didepositkan ke akaun Bank Islam pelajar pada 23 Mac lepas.

Sehubungan itu, pelajar yang terkesan ekoran daripada ralat potongan yuran berkenaan, diminta untuk mengisi ‘google form’ yang disediakan untuk semakan dan tindakan lanjut pihak UTM.

Menurut kenyataan itu lagi, sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi emel [email protected] atau [email protected], [email protected] dan [email protected]

Baru-baru ini, isu berkenaan pemotongan yuran itu diluahkan segelintir penuntut universiti berkenaan menerusi media sosial. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button