Berita Utama

Kerajaan pertimbang vaksin 1 dos kepada penduduk di pedalaman

Fahami kesukaran mereka datang dapatkan suntikan kedua

BAGAN SERAI, 13 Syaaban 1442H, Sabtu – Kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan vaksin satu dos seperti CanSino dari China untuk penduduk di kawasan pedalaman kerana kesukaran untuk mereka datang semula untuk mendapatkan suntikan kedua.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan langkah itu dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan mengambil kira faktor logistik dan kedudukan lokasi masyarakat di luar bandar.

“Kita boleh beri vaksin jenis ini terutama mereka yang tinggal di pendalaman dan susah untuk datang mendapatkan suntikan…kerana jika ingin beri dua suntikan, ia bukan senang. Jadi inilah tujuannya,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung kali ke-21 Persatuan Veteran ATM Cawangan Bagan Serai di Dewan Komuniti Bagan Serai di sini hari ini.

Ketika ini, vaksin Pfitzer dan Sinovac digunakan dalam program imunisasi tersebut yang memerlukan dua dos suntikan bagi melengkapkan imunisasi.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi berkata suntikan vaksin fasa kedua bagi memutuskan pandemik COVID-19 itu dijangka dilaksanakan bermula bulan depan namun tarikh rasmi mengenainya belum diputuskan lagi kerana kerajaan mengambil kira keadaan semasa sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, sehingga kini hampir 500,000 petugas barisan hadapan telah menerima suntikan vaksin dan Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bekalan vaksin mencukupi dan diterima pada setiap minggu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button