Berita Utama

Teliti semula SOP di pusat asuhan elak isu penderaan

Pastikan keselamatan kanak-kanak supaya tak berlaku lagi insiden sama

PASIR MAS, , 13 Syaaban 1442H, Sabtu – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) di pusat asuhan atau taman didikan kanak-kanak (Tadika), katanya Timbalan Menterinya Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, penelitian semula itu bagi memastikan keselamatan kanak-kanak di pusat asuhan, sekali gus mengelakkan berlaku isu penderaan.

“Kita akan meneliti semula SOP di pusat asuhan, bagi memastikan keselamatan kanak-kanak supaya tidak berlaku lagi insiden perderaaan seperti klip video yang tular di laman media sosial semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Malaysia Prihatin di Kompleks Tarbiyah Islamiyah, Chetok, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM yang juga Ketua Jajahan Pasir Mas Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Semalam tular video berdurasi 10 saat yang mencetuskan kemarahan orang awam, susulan seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan oleh murid-murid tadika yang lain.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, KPWKM memandang serius isu berkenaan, dan berharap tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang berkaitan.

“KPWKM juga sudah dimaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan untuk kes itu.

“Malah, bagi ibu bapa yang terkesan dengan insiden ini, kami turut menyediakan pegawai pelindung dan menerusi Lembaga Kaunselor Malaysia, kita turut menyediakan pakar-pakar kaunseling untuk membantu mereka yang menghadapi trauma atau isu-isu seumpama ini,” katanya.

Siti Zailah turut menyeru kepada semua pihak, supaya sekiranya mendapat isu atau berita seumpama itu untuk melaporkan kepada KPWKM dan PDRM, melalui saluran Talian Kasih 15999 atau menerusi aplikasi WhatsApp 0192615999.

“KPWKM turut menyarankan kepada ibu bapa, agar menyelidik terlebih dahulu latar belakang pengasuh dan adakah tempat itu berdaftar atau sebaliknya. Banyak kes yang kita dengar kadang-kadang tempat asuhan belum mendaftar, kadang-kadang pengasuh tu tidak pernah mendapat latihan.

“Perkara-perkara sebegini ini amat penting untuk memastikan keselamatan anak-anak, ibu bapa harus peka dan mengambil perhatian sebelum menghantar anak-anak ke pusat asuhan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button