Dunia

10 juta dos vaksin perlu disumbang kepada 20 negara miskin

36 negara masih tunggu giliran dapatkan vaksin COVID-19

GENEVA, 14 Syaaban 1442H, Ahad – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa sumbangan segera 10 juta dos vaksin COVID-19 kepada 20 negara miskin bagi memastikan suntikan diterima di seluruh dunia. 

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang media berkata, peningkatan kepada permintaan vaksin COVID-19 menyebabkan banyak negara lewat menerima imunisasi itu. 

Katanya, setakat suku tahun ini, 36 negara masih menunggu giliran untuk mendapatkan dos dan memulakan vaksinasi ke atas penduduk mereka. 

Daripada jumlah itu, 16 negara dijadualkan menerima dos pertama dari COVAX dalam masa terdekat, sementara 20 negara masih dalam senarai menunggu. 

“COVAX memerlukan 10 juta dos dengan segera sebagai langkah menghenti jurang supaya 20 buah negara itu boleh memulakan vaksinasi kepada kakitangan kesihatan dan warga emas dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Justeru, saya meminta negara-negara di bawah Senarai Penggunaan Kecemasan WHO untuk menyumbangkan sebanyak mungkin dos vaksin untuk membantu kami mencapai sasaran itu,” katanya. 

Tedros juga menggesa pengeluar untuk membantu memastikan negara-negara berkenaan dapat segera menyumbangkan dos vaksin COVID-19. 

Dia turut meminta pengeluar meningkatkan pengeluaran sehingga vaksin tambahan dapat disumbangkan ke negara-negara miskin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button