Berita Utama

Lelaki mandi sungai di Tasik Kenyir dikhuatiri lemas

Operasi menyelamat dijalankan, namun belum ada petunjuk

HULU TERENGGANU, 14 Syaaban 1442H, Ahad – Seorang lelaki dikhuatiri lemas semasa mandi di Sungai Petuang, Tasik Kenyir petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira 6.20 petang semalam berhubung kejadian yang menimpa Ami Azzizol Abu Bakri, 22, yang berasal dari Dungun.

Katanya, sebelum kejadian yang berlaku pada 5.50 petang itu, beberapa saksi termasuk ahli keluarga Ami Azzizol melihat lelaki itu berenang dari sebuah rumah rakit ke dalam Sungai Petuang di hadapan rumah rakit tersebut untuk mandi. 

“Tidak lama kemudian saksi nampak mangsa terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot. Seorang daripada saksi iaitu anak pemilik rumah rakit telah cuba memberi pertolongan namun hampir lemas kerana mangsa memaut belakang saksi yang cuba membantu. Mangsa terus tenggelam dan tidak dapat diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan semalam oleh 46 orang yang terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam, namun tidak menemukan sebarang petunjuk.

“Pencarian diteruskan hari ini sekitar 8 pagi,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button