Tunjuk perasaan di Bangladesh bertukar ganas selepas lawatan Modi
Puluhan dilapor cedera dalam pertempuran polis, pemprotes

DHAKA, 14 Syaaban 1442H, Ahad – Sekurang-kurangnya puluhan orang dilaporkan cedera dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan di Bangladesh pada Ahad – hari ketiga tunjuk perasaan terhadap lawatan pemimpin nasionalis Hindu India.
Penunjuk perasaan juga dilaporkan menyerang kuil Hindu dan kereta api di timur Bangladesh.
Protes hari ini turut menyaksikan ratusan penunjuk perasaan membakar perabot dan tayar di tepi jalan sambil melaungkan slogan anti-Modi dan meminta pihak berkuasa menyiasat tembakan dilepaskan polis.
Polis melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah setelah penunjuk perasaan menyekat sebahagian jalan raya.
Jumaat lalu, lima orang maut manakala enam yang lain pada Sabtu selepas polis menembak penunjuk perasaan di beberapa daerah utama di seluruh negara yang majoriti Islam berjumlah 168 juta orang.
Penunjuk perasaan – kebanyakkan dari kumpulan Hefazat – berang dengan kunjungan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Bangladesh sempena negara ini menyambut hari kebangsaan ke-50 tahun pada Jumaat lalu.
Modi didakwa bersikap berat sebelah terhadap komuniti Islam di India. – Agensi