Berita Utama

UMNO jangan tamak ‘bolot’ semua

Kerjasama antara PAS, Bersatu pilihan terbaik berdepan PH

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 14 Syaaban 1442H, Ahad – UMNO wajib berjuang semula mengembalikan kedaulatan Islam yang tersemat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, di situlah pasak dan tunjang kekuatan UMNO dahulu, berjaya menolak Malayan Union 1946 sehingga memperoleh kemerdekaan penuh daripada pihak British dengan sokongan kaum lain yang memahami hasrat murni kebolehan orang Melayu memerintah sendiri.

Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berkata, ‘kebolehan memerintah’ itulah yang mesti dibuktikan UMNO sebagai tawaran baru kepada pengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Katanya, pilihan terbaik bagi UMNO ialah menggabungkan dirinya dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah satu unit untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan (PH).

“Ini adalah ‘masa kekuatan bersama’ oleh tiga parti berkenaan dan bukannya ‘masa untuk membolot semua’ oleh UMNO sahaja.

“Ini kerana ‘kelemahan UMNO’ akan ditampung oleh kekuatan PAS dan Bersatu. Begitu juga, ‘kelemahan PAS dan Bersatu’ di sesuatu kawasan dapat dibantu oleh ‘kekuatan UMNO’,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN), parti gabungan yang ditunjangi UMNO, memutuskan untuk menghadapi PRU15 secara bersendirian, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO berkata, parti terbesar orang Melayu itu turut memutuskan untuk mengekalkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) supaya tiada sebarang kerjasama membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan Bersatu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button