Berita Utama

UMNO perlu jadi ‘induk’, tetap keluar PN Ogos depan

Tak boleh sikap acuh tidak acuh terhadap sebarang keputusan

KUALA LUMPUR, 14 Syaaban 1442H, Ahad – UMNO perlu tetap dengan pendirian termasuk bertindak keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada Ogos depan.

Demikian tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa parti itu tidak boleh bersikap acuh tidak acuh terhadap sebarang keputusan yang dipersetujui parti.

“Mari sama kita perkasa parti dan kuatkan parti dan hadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Jika tadi setuju tarik diri pada bulan 8, tarik diri bulan 8. Jangan main ‘silat pulut’ tak sudah-sudah kerana silat itu hanya beraksi depan pengantin lama-lama dia letih sendiri,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Mohamad turut menegaskan UMNO perlu menjadi ‘induk’ (ketua) dan berdiri atas kaki sendiri.

“UMNO mesti menjadi induk kepada pentadbiran negara. Itu syarat siapa-siapa yang nak bercakap dengan kita. Kedua, kita lihat sesiapa sahaja yang tidak memusuhi Melayu dan Islam, boleh bercakap dengan kita.

“Kalau ada orang-orang yang masih tidak mengakui sikap bahawa UMNO adalah induk kepada negara, ini susah,” katanya.

Katanya lagi, UMNO tidak boleh terus mengharapkan insan parti lain selama-lamanya.

“Jika hidup sentiasa meminta belah ihsan orang, kita tidak akan bina kekuatan sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button