Berita Utama

Warga Bangladesh maut, 3 rakan cedera dalam kemalangan di Sik

Mangsa cedera parah di kepala maut di lokasi kejadian

SIK, 14 Syaaban 1442H, Ahad – Seorang lelaki warganegara Bangladesh maut manakala tiga lagi rakan senegaranya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Jeniang berhampiran Kampung Gajah Puteh dekat sini, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sik, DSP Abdul Razak Osman berkata, mangsa yang maut adalah seorang pekerja kontrak dikenali sebagai Babul Mohammad Azaharul Islam, 32, yang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala maut di lokasi kejadian, manakala tiga rakannya yang menaiki kenderaan sama mengalami kecederaan dalaman.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda itu secara tiba-tiba keluar dari satu simpang memasuki jalan tersebut dan sebuah lori dipandu seorang lelaki yang sedang melalui jalan itu tidak sempat menekan brek sekali gus berlaku perlanggaran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, akibat perlanggaran itu kedua-dua kenderaan terbabas ke tengah jalan, bagaimanapun pemandu lori berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Beliau memberitahu, mayat mangsa yang maut telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah-siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, polis masih menyiasat identiti tiga lagi warganegara Bangladesh yang mengalami kecederaan dan menyatakan bahawa pihaknya telah menghubungi majikan mereka di Kuala Lumpur berhubung kemalangan itu.

Sementara itu, Pegawai Komander Operasi Kanan Bertugas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kedah, Amir Ridzwan Shah Rofiee berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 10.13 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada 10.35 pagi.

“Setiba di lokasi, terdapat empat mangsa dengan seorang daripada mereka maut di lokasi kejadian dan tiga mangsa mengalami kecederaan. Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sik untuk rawatan lanjut,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button