Dunia

Pelajar di Jerman diserang kerana pakai rantai ‘Allah’

Polis siasat jika insiden ada kaitan jenayah bermotif agama

BERLIN, 13 Jamadilawal 1445H, Isnin – Seorang pelajar berusia 15 tahun diserang di sebuah sekolah di Jerman kerana memakai rantai yang bertulis ‘Allah’, menurut agensi berita Anadolu.

Insiden itu adalah yang terbaru dalam rentetan serangan Islamofobia sejak meningkatnya konflik Israel-Palestin, bulan lalu.

Polis Jerman berkata, serangan berlaku di sebuah sekolah tinggi di Wilhelmstadt, Berlin pada petang Jumaat lalu dan kini dalam siasatan.

Sekurang-kurangnya lima rakan sekelas menyerang pelajar terbabit di tandas sekolah dengan menarik rantai leher itu dan menyerang mangsa secara fizikal.

Menurut kenyataan, mangsa mendapatkan bantuan perubatan awal daripada guru sebelum dibawa ke hospital.

Jurucakap polis memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat sama ada serangan itu adalah jenayah bermotifkan agama.

Sebelum ini, masyarakat Islam Jerman melaporkan peningkatan jenayah kebencian anti-Muslim, yang dicetuskan oleh propaganda ahli politik sayap kanan dan liputan media berat sebelah mengenai konflik Gaza.

Dengan populasi lebih 84 juta orang, Jerman mempunyai penduduk Islam kedua terbesar di Eropah Barat selepas Perancis.

Di antara hampir 5.3 juta orang Islam di negara itu, tiga juta adalah berasal dari Turkiye.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button