Berita UtamaKolumnis

Isu air: Jangan biarkan Pulau Pinang jadi Singapura 2

Perlukah Kedah tanya Pulau Pinang bagi pembangunan negerinya?

JANGAN biarkan Pulau Pinang jadi Singapura 2.

Kurangkan sikap ultra kiasu pemimpin Pulau Pinang. Ajar dia erti adab, syukur dan menghormati orang lain. Jangan biarkan ultra kiasu ini terus kurang ajar.

Ambillah pengajaran apa yang telah berlaku dalam hubungan antara Malaysia-Singapura.

Sehingga kini, bila kerajaan mahu menaikkan harga air mentah daripada harga tiga sen per seribu gelen kepada harga yang lebih munasabah, Singapura langsung tidak mahu terima.

Pernah satu ketika, apabila kerajaan terus mendesak, ultra kiasu Singapura menjawab bahawa penyelesaiannya adalah perang.

Apakah amaran ini seperti tidak cukup untuk kita dalam menilai hubungan dengan pulau kedua selepas Singapura.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad amat tegas dalam hubungan dengan Singapura. Beberapa kali Tun M telah membangkitkan isu ini. Tun M menyifatkan harga semasa jualan air kepada Singapura sebagai tidak munasabah.

Sampai bila harga yang ditetapkan pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah sejak 1962 itu akan berterusan? Sangat tidak munasabah.

Saya ulang, RM0.30 per 1000 gelen, bukannya RM0.30 segelen yer… Manakala Singapura menjual semula air terawat kepada Johor pada harga RM0.50 setiap 1,000 gelen.

Singapura untung atas angin, jual semula air Johor kepada Johor, yang telah diproses.

Menurut Perjanjian Air 1962, tempoh perjanjian antara Malaysia dan Singapura yang lebih kurang 100 tahun akan berakhir pada 2061.

Malaysia membekalkan Singapura 250 juta gelen air mentah sehari pada harga RM0.03 setiap 1,000 gelen.

Apa yang boleh dibeli dengan harga tiga sen? Tetapi itulah harga yang kita jual kepada Singapura daripada tahun 1962 hingga 2061. Baik sungguh budi Malaysia.

Sepatutnya harga barang perlu ikut keadaan semasa iaitu RM3.00 per 1000 gelen, bukan tiga sen.

Lebih menyedihkan lagi, kolam tadahan air di Johor dijaga sepenuhnya tentera Singapura.

Kita sendiri mahu masuk pun terlalu sukar.

Apakah kita mahukan perkara sama berulang antara Kedah-Pulau Pinang? Keadaan mungkin berbeza. Tetapi tidak mustahil berlaku.

Ultra kiasu Pulau Pinang mendakwa, Menteri Alam Sekitar dan Menteri Besar Kedah bersekongkol dan menyerang negeri itu dalam isu air.

Kedua-duanya bekerjasama untuk ‘memeras wang’ daripada Pulau Pinang apabila bagi meneruskan projek kerajaan Kedah mengurangkan bekalan air ke Pulau Pinang melalui pembinaan tangki air besar di sepanjang Sungai Muda.

Kepada ultra kiasu, kali ini kamu bertemu buku dengan ruas. Baru kamu tahu langit tinggi atau rendah.

Sebelum ini, bukan makin lagi lagaknya. Sombong dan bongkak. Saya tabik Menteri Kedah.

Ultra kiasu menuduh lagi, kerajaan diterajui Perikatan Nasional (PN) dan PAS bersikap ‘tidak peduli dan tidak bertanggungjawab’ terhadap hak Pulau Pinang untuk mengambil air dari Sungai Muda semata-mata kerana kepentingan politik mereka.

Kata ultra kiasu lagi, selama 64 tahun sebelum ini, tidak ada kerajaan persekutuan yang bersekongkol dengan kerajaan negeri lain untuk mengancam penduduk negeri lain dengan ‘meminum air selut’.

Dengan bongkaknya ultra kiasu ini berkata lagi, kerajaan Pulau Pinang dan DAP akan mempertahankan sekeras-kerasnya hak Pulau Pinang untuk mendapat air bersih, selain menambah bahawa mereka bersedia mengheret kedua-dua kerajaan Kedah dan persekutuan ke mahkamah atas perkara itu.

Saya tidak berkata apa-apa melainkan, silakanlah saman, tidak ada siapa yang menghalang.

Sila bawa ke muka pengadilan, lihat siapa menang.

Secara logiknya, adakah kerajaan negeri Kedah perlu bertanya kepada kerajaan Pulau Pinang untuk pembangunan negerinya?

Kalau dah tahu bergantung sumber kepada negeri lain, belajarlah menghormati orang lain.

Ini tidak, sombong bukan main. Lagi pun bukannya banyak sangat yang dituntut oleh kerajaan negeri Kedah, jika dibandingkan dengan kos terowong.

Tetapi inilah sifat ultra kiasu. Sama seperti Singapura. Dia tidak mahu kongsi walaupun sedikit. Dia nak makan semua.

Minggu lalu, Kedah mendedahkan rancangan membina 14 takungan air besar di sepanjang Sungai Muda, selain empangan yang akan memperlahankan aliran air di hujung sungai yang mengalir ke perairan Pulau Pinang.

Pulau Pinang bergantung kepada sungai untuk memenuhi 80 keperluan airnya.

Ketika mengumumkan projek itu, MB Kedah mengingatkan Pulau Pinang supaya ‘bersedia’ menyedut lumpur dari hujung Sungai Muda (di Kepala Batas) jika ia tidak membayar ganti rugi kepada Kedah bagi air yang diambil.

Katanya, takungan air berkenaan diperlukan bagi menjimatkan air untuk pengairan padi dan memastikan bekalan air mencukupi untuk rakyat Kedah pada musim kemarau.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (SPAN), yang berada di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air menyambut baik rancangan kerajaan Kedah. Ia merupakan idea yang baik kerana dapat menakung lebihan air hujan untuk digunakan pada musim kemarau.

Kepada MB Kedah, teruskanlah apa yang terbaik untuk negeri Kedah.

Ultra kiasu Pulau Pinang mesti diajar erti mengenang budi, adab dan syukur.

Pertama, kena bertegas. Jangan sama sekali undur dengan keputusan tersebut. Itulah cara paling baik untuk mengajar ultra kiasu.

Kedua, ultra kiasu tidak makan saman jika kita terus berlembut. Ambil pengajaran besar hubungan Malaysia-Singapura dalam isu air ini.

Ketiga, begitu juga teruskan projek pembinaan lapangan terbang yang mahu dibina di Kulim. Bersaing secara sihat. Ultra kiasu memang tidak mahu bersaing secara sihat.

Ambil juga pengajaran hubungan Malaysia (Johor) – Singapura. Singapura tidak akan mengalah kepada Johor dalam apa jua perkara yang mendatangkan kerugian kepadanya. Misalnya, dalam isu pelabuhan dan jambatan bengkok.

Jika Singapura jenis yang mengenang budi, sudah tentu ultra akan bersetuju untuk kaji semula harga air tersebut, yang langsung tidak masuk akal. Malangnya, mereka terus berkeras.

Tidak cukup dengan itu, ruang udara, lambang kedaulatan negara, turut dicerobohinya. Apa yang mampu kita buat?

Kesimpulannya, dalam berhadapan dengan ultra kiasu, ketegasan adalah paling penting. Jangan sama sekali mengalah, jika sekiranya kita di pihak yang benar. Mengalah lagi, bermakna, kita terus menggalakkan mereka menjadi lebih ultra kiasu lagi, dalam semua hal.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button