Berita Utama

Isu air mentah: Kedah, Pulau Pinang perlu segera cari kesepakatan

Infrastruktur air di Kedah akan dibaik pulih jika Pulau Pinang bayar air mentah

KUALA LUMPUR,  15 Syaaban 1442H,  Isnin – Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang digesa segera mencari kesepakatan dalam isu tuntutan bayaran sumber air mentah yang berlarutan sejak 2010, demi kepentingan rakyat di kedua-dua negeri, dengan kerajaan pusat berperanan sebagai orang tengah penyelesaian isu tersebut.

Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini, mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah. Kerajaan Pulau Pinang pula dilihat tidak mahu melayan tuntutan itu.

Isu tersebut dilihat agak kompleks dengan kedua-dua pihak mempunyai pandangan masing-masing, namun situasi menang-menang boleh dicapai sekiranya kebajikan rakyat menjadi keutamaan.

Bagi Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff, beliau sangat berharap Kerajaan Persekutuan campur tangan dalam isu itu, bagi mencapai kata putus yang memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Sebagai wakil kepada pengguna negeri ini (Kedah), kami mengharapkan kedua-dua kerajaan negeri dapat mencapai kesepakatan kerana dalam soal ini kami di CAKE, tidak boleh bercakap untuk manfaat pengguna di Kedah sahaja,” katanya kepada Bernama.

Mohd Yusrizal berkata, ada kewajaran bagi Kedah untuk menuntut bayaran itu, kerana kawasan tadahan air Ulu Muda berada di dalam Kedah dan dijaga dengan baik sehingga bekalan air dapat dinikmati Pulau Pinang menerusi Sungai Muda.

Namun, katanya, ada sesetengah kawasan di Kedah penduduknya tidak mendapat bekalan air yang baik, kemungkinan disebabkan kemudahan infrastruktur berkaitan bekalan air yang tidak memuaskan.

“Sekiranya Kerajaan Negeri Kedah berjaya mendapatkan bayaran air mentah daripada Pulau Pinang, ia mungkin boleh digunakan untuk membaik pulih infrastruktur bekalan air untuk kepentingan rakyat di negeri ini (Kedah),” katanya.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Water Watch Penang (WWP), turut mencadangkan campur tangan kerajaan pusat demi kepentingan rakyat di dua negeri tersebut, dan bukan dengan melakukan tindakan dengan cara konfrontasi yang tidak menyelesaikan masalah tersebut.

Presidennya Prof Dr Chan Ngai Weng berpendapat, masalah air antara Kedah dan Pulau Pinang ini harus diselesaikan di peringkat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Satu lagi langkah penyelesaian ialah, dengan pembentukan Majlis Lembangan Sungai Muda bagi meredakan isu tersebut. Sebenarnya Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) dan Ketua Menteri Pulau Pinang (Chow Kon Yeow), perlu duduk berbincang bersama-sama dan bukannya mengeluarkan kenyataan melalui media. Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Baru-baru ini, Muhammad Sanusi mengumumkan bahawa Kedah berhasrat membina 14 tangki air sepanjang Sungai Muda, untuk menjimatkan air bagi pengairan padi dan memastikan bekalan air mencukupi sepanjang musim kemarau.

Ekoran itu, Chow memaklumkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Kerajaan Negeri Kedah sekiranya melaksanakan projek itu, yang boleh mengancam bekalan air di Pulau Pinang.

Sementara itu, Chan berkata, cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina 14 tangki air di sepanjang Sungai Muda, adalah membahayakan ekonomi serta mata pencarian penduduk Pulau Pinang.

Katanya, walaupun rancangan kerajaan negeri Kedah dapat menjamin keselamatan air kepada penduduk Kedah dan petani di sana, namun tidak dapat dinafikan bahawa tindakan tersebut akan mengurangkan bekalan air ke Pulau Pinang secara drastik.

“Ini kerana kuantiti dan kualiti air yang mengalir ke Pulau Pinang di Sungai Muda akan berkurangan dengan ketara. WWP melihat pertikaian membabitkan isu air antara Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang ketika ini semakin tegang dan bahaya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang dihubungi pemberita tidak menafikan hak Pulau Pinang mendapatkan bekalan air daripada Sungai Muda, namun mahu kerajaan negeri itu membuat bayaran kepada Kedah, agar Sungai Muda dapat terus dipelihara.

“Itulah kepentingan untuk mereka membayar harga air mentah kepada Kedah, supaya kita dapat membuat pertimbangan-pertimbangan untuk kepentingan mereka, yang turut membayar bagi aliran air dari Ulu Muda ke Sungai Muda,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak akan berhenti menyuarakan tuntutan itu kepada Pulau Pinang, yang menurutnya mengekstrak sebahagian besar air daripada Sungai Muda walaupun kawasan tadahan air dipelihara oleh Kedah.

Menurutnya, bekalan air Sungai Muda sepatutnya dinikmati lebih oleh Kedah bukan hanya untuk kegunaan domestik, tetapi dalam sektor pertanian terutama tanaman padi yang mana Kedah mengeluarkan 43 peratus bekalan beras negara. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button