Jemaah Masjidil Haram perlu ambil vaksin COVID-19
Bagi memastikan keselamatan diri, jemaah lain dari jangkitan wabak

JEDDAH, 15 Syaaban 1442H, Isnin – Jemaah di dua masjid suci di Makkah dan Madinah perlu mendapatkan vaksin COVID-19 bagi membendung penularan wabak.
Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdurahman Al-Sudais berkata, perkara itu adalah salah satu pelan operasi menjelang bulan Ramadan.
Selain itu, katanya, pengunjung masjid turut diberi kemudahan untuk dimanfaatkan sebaik-baiknya.
“Tujuannya adalah untuk memberi pengalaman unik kepada Doyoof Al-Rahman (tetamu Allah) dalam aspek ibadah dan penjagaan kesihatan.
“Bagi mengelakkan penularan wabak, jemaah dua masjidil haram perlu dapatkan vaksin COVID-19 bagi memastikan keselamatan mereka dan jemaah-jemaah lain,” katanya.
Terdapat lima kawasan untuk jemaah mendirikan solat di Masjidil Haram, termasuk halaman sebelah timur.
Jemaah umrah juga dapat melakukan tawaf di tingkat pertama sepanjang bulan. -Agensi