Menteri, timbalan menteri dari UMNO jumpa Muhyiddin hari ini?
Pertemuan dibuat sehari selepas Perhimpunan Agung UMNO

PUTRAJAYA, 15 Syaaban 1442H, Isnin – Beberapa Menteri Kabinet dan timbalan menteri dari UMNO dilaporkan bertemu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehari selepas perhimpunan agung parti itu meluluskan resolusi menolak kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datamg, kata sumber.
Kumpulan itu difahamkan telah mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin di Pejabat Perdana Menteri pada jam 5.30 petang pada hari ini.
Mesyuarat itu dikatakan berlangsung selama kira-kira satu jam.
Meskipun apa yang sebenarnya dibincangkan dalam pertemuan itu tidak diketahui, ia dipercayai berkaitan dengan Perhimpunan Agung UMNO.
Sumber juga enggan mengesahkan siapa antara menteri dan timbalan menteri UMNO yang menghadiri mesyuarat itu.
Bagaimanapun, Sinar Harian melaporkan bahawa salah seorang yang hadir dalam pertemuan itu adalah Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Portal berita itu juga melaporkan bahawa kenderaan yang membawa menteri itu dilihat meninggalkan bangunan itu kira-kira jam 6.45 petang tanpa bercakap dengan media.
Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung Sabtu lalu (27 Mac) hingga semalam menyaksikan parti itu mengesahkan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perhimpunan agung itu juga melancarkan usul untuk menuntut Perikatan Nasional mengadakan PRU segera setelah proklamasi darurat tamat pada atau sebelum 1 Ogos.
UMNO turut memberi mandat kepada presiden dan dewan tertinggi untuk menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional ‘pada bila-bila masa yang ia anggap wajar’.