Berita Utama

Perlu dapat kebenaran polis sebelum anjur majlis kahwin di Kelantan

Kompaun minimum RM1,500 dan maksimum RM10,000 jika langgar SOP

KOTA BHARU, 15 Syaaban 1442H, Isnin – Rakyat negeri Kelantan yang mahu menganjurkan majlis keramaian seperti kenduri kahwin, tahlil, keraian dan perjumpaan perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak polis berkuat kuasa, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, langkah itu bagi membolehkan pihak berkuasa memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang kian meningkat di negeri ini.

Katanya, langkah itu selaras dengan keputusan yang telah dicapai menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan.

“Polis akan turun padang untuk menjalankan pemeriksaan di majlis yang diadakan dan memeriksa sama ada penganjur membuat permohonan atau sebaliknya.

“Selain itu, SOP turut akan diberi perhatian semasa lawatan, jika wujud perlanggaran kita akan ambil tindakan kompaun minimum RM1,500 dan maksimum RM10,000,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kota Darulnaim, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button