Berita Utama

UMNO parti tak berwawasan perjuang agenda sendiri

Sebagai parti besar, rugi tak ambil peluang satukan ummah

BANGI, 15 Syaaban 1442H, Isnin – UMNO sebagai parti besar yang memiliki keahlian melebihi 3 juta, sewajarnya tidak bersifat kerdil dengan hanya mengutamakan agenda parti.

UMNO akan dilihat sebagai parti yang tidak berwawasan serta merugikan ummah apabila memperjuangkan agendanya sendiri. 

Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, ahli parti yang ramai bukan calang-calang, sepatutnya lebih memikirkan agenda ummah. 

“Kalau parti yang besar masih memikirkan maruah parti dan agenda parti, sebenarnya itu adalah terlalu kecil. Tak sesuai dengan saiz fizikal yang dimiliki UMNO.

“Sepatutnya UMNO gunakan peluang sekarang menyatukan ummah. Sebagai parti yang besar ia patut ada rasa bertanggungjawab untuk menyatukan parti-parti Melayu yang ada,” katanya kepada TV Pertiwi.

Beliau turut mempersoalkan atas dasar apa UMNO memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020), semalam.

“Kalau atas hujah syarak, al-Quran telah meletakkan satu dasar yang perlu kita sepakati. “Sesungguhnya mukmin itu bersaudara” (Surah al-Hujuraat: Ayat 10),” katanya.

Walaupun nama parti adalah berbeza, tetapi antara parti Bersatu, PAS, UMNO, bagi Ustaz Zamani, adalah satu ikatan akidah. 

“Kita berbicara tentang maruah agama, agenda bangsa yang besar. Untuk kita membina peradaban yang dibina di atas akidah Islamiyah, bukannya atas satu bentuk kepartian yang kita besarkan tentang permusuhan, perkelahian, hanya kita mementingkan maruah parti,” katanya.

Semalam, PAU 2020 meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan kebersamaan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak menyatakan tempoh bila pemimpin partinya akan diarahkan untuk menarik diri dari pentadbiran PN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button