Berita UtamaIstimewa

Bersama PN atau UMNO jadi kerajaan boneka PKR, DAP

Pertembungan 3 penjuru beri peluang PH kembali memerintah

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Peluang UMNO untuk menubuhkan sebuah kerajaan Melayu di negara ini hanya akan dapat direalisasikan dengan menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Pada masa sama, keputusan untuk bersama PKR dan DAP hanya akan mengakibatkan parti berteraskan orang Melayu itu menjadi kerajaan boneka semata-mata.

Amir gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman juga yakin, tekad UMNO untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika PAS enggan bersama mereka tidak akan memungkinkan ia membentuk sebuah kerajaan.

“UMNO boleh bertanding semua kerusi tapi tak boleh jadi kerajaan. Peluang terbaik kalau UMNO benar-benar nak tubuh kerajaan Melayu ialah bersama PN.

“Kalau tidak UMNO mungkin akan bergabung dengan PKR dan DAP selepas PRU, akibatnya UMNO akan kerajaan boneka juga,” katanya kepada Ismaweh.net, hari ini.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Usul Ucapan Dasar Presiden itu diluluskan sebulat suara selepas dicadangkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan disokong oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Ghani.

PAU 2020 juga bersetuju dengan gesaan akar umbi dan kepimpinan supaya PRU15 diadakan segera bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil untuk menjamin kemakmuran negara kembali di landasan dan kehidupan rakyat disejahterakan.

Selain itu, media melaporkan UMNO bersedia untuk bergerak secara solo sekiranya PAS memilih jalan untuk tidak bersama parti itu.

Dalam perkembangan sama, Ustaz Abdullah Zaik memberi amaran akan kebangkitan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui oleh DAP dalam pilihan raya akan datang.

Jelasnya, perkara berkenaan berkemungkinan besar boleh berlaku sekiranya wujud pertembungan tiga penjuru terutamanya di kawasan majoriti orang Melayu.

“Kalau berlaku pertandingan tiga penjuru di kawasan majoriti Melayu, potensi PH nk menang balik ada,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button