Dunia

COVID-19: Rakyat Malaysia antara 21 kes baharu di Singapura

Lelaki berkenaan tiba dari Malaysia untuk membantu siasatan polis

SINGAPURA, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 34 tahun adalah antara 21 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Isnin, demikian menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Kementerian itu dalam data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi, memaklumkan lelaki berkenaan tiba dari Malaysia untuk membantu siasatan polis dan kes dilabelkan sebagai kes 61293.

Dikategorikan sebagai kes import, rakyat Malaysia itu adalah memegang Pas Lawatan Jangka Pendek dan tidak bergejala.

Setakat tengah hari Isnin, Singapura merekodkan sebanyak 21 kes baharu, semuanya diimport, menjadikan jumlah jangkitan akibat COVID-19 di republik itu sebanyak 60,321.

Sehingga kini, kementerian mengklasifikasikan 3,478 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,332 kes dalam komuniti dan 54,511 melibatkan penghuni di dalam asrama.

Keseluruhanya, sebanyak 60,131 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus itu dan didiscaj sama ada dari hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Kini terdapat 39 kes positif COVID-19 yang masih dirawat di hospital dengan satu kes dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi.

Sebanyak 121 individu yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif bagi COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan penjagaan komuniti.

Sehingga kini, 30 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu.

Tiada kluster baharu yang dikenal pasti. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button