Berita Utama

Kalimah Allah: Mufti Melaka terima memorandum bantahan NGO Islam

Harap Melaka proaktif, terkedepan isu melanda ummah

BANGI, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil menerima memorandum bantahan berhubung isu penggunaan kalimah Allah di dalam bahan terbitan orang bukan Islam oleh gabungan NGO-NGO Islam, semalam.

Penyerahan memorandum diketuai Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka Tengah, Dr Khair Razlan Othman di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pada jam 2.30 petang.

Seramai 23 NGO Islam hadir dalam serahan memorandum itu dengan harapan agar cadangan yang diajukan diambil berat demi melihat Melaka menjadi antara negeri yang proaktif dan terkedepan dalam isu-isu yang melanda ummah tatkala ini.

Antara delegasi yang hadir pada sesi serahan memorandum itu adalah Naib Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Melaka, Datin Rosfinah Rahmat; Pengerusi Pertubuhan Penggerak Masyarakat Malaysia Melaka, Datin Rohani Mohd Arif dan wakil ISMA Pusat, Ir Khoushaini Mohd Naim.

Turut hadir, wakil Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) Melaka, Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak; Yang di-Pertua ISMA Alor Gajah, Haji Muhammad Aizat Rasli dan Pengerusi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Melaka, Mohamad Khairi Akmal Zainol.

Selain itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Melaka, Ahmed Akmal Abdull Wahid serta Mohd Aznan Abdul Latif – wakil Usahawan Muslim Nasional (USMAN).

Mufti Melaka diiringi Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat ketika menerima memorandum yang mengemukakan tujuh cadangan itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 15 Mac lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button