Dunia

Karikatur nabi: Pemimpin masjid minta ibu bapa henti protes

Ibu bapa janji jalankan protes sehingga guru terbabit dipecat

LONDON, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Para pemimpin masjid meminta ibu bapa berhenti melakukan bantahan di luar sebuah sekolah di utara England, susulan isu karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad SAW.

Minggu lalu, seorang guru di Batley Grammar School telah digantung perkhidmatan kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW yang diterbitkan akhbar satira mingguan Perancis, Charlie Hebdo.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika kelas pengajian agama berlangsung.

Bagaimanapun, Guru Besar, Gary Kibble serta guru-guru lain di sekolah itu telah melakukan permohonan maaf, selain menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak sesuai.

Pada masa sama, sebilangan ibu bapa berjanji untuk terus memprotes di luar sekolah sehingga guru terbabit dipecat.

Ketua Masjid Snowdon, Akooji Badat memberitahu Daily Telegraph bahawa pihaknya telah meminta ibu bapa supaya berada jauh dari kawasan sekolah.

Beliau berkata, pihak sekolah turut memberi kerjasama yang baik apabila bertindak menggantung perkhidmatan ke atas guru terbabit.

“Pihak sekolah juga telah meminta maaf kerana menunjukkan bahan itu dan menariknya semula dari kursus serta akan menyemak semula isi kandungan kursus yang lain.

“Penting bagi anak-anak untuk belajar mengenai iman dan kepercayaan, tetapi ini mesti dilakukan dengan cara yang sensitif, “ katanya dalam satu kenyataan.

Kira-kira tiga perempat pelajar di Batley Grammar School berasal daripada etnik minoriti.

Meskipun komposisi agama di sekolah itu masih belum direkodkan, ia mempunyai populasi muslim yang besar.

Sementara itu, Ketua Imam Masjid Green Land di Birmingham, Sheikh Zakaullah Saleem berkata, karikatur nabi yang menyinggung perasaan itu adalah bertentangan dengan nilai-nilai penghormatan British serta dapat menyumbang kepada stereotaip dan peminggiran minoriti muslim di United Kingdom.

“Tindakan menunjukkan rasa hormat adalah sebahagian ajaran agama kita dan itu adalah bahagian integral dalam Islam.

“Kami percaya, sifat hormat dan toleransi adalah salah satu nilai Inggeris.

“Dan sebagai umat Islam, kita mempromosikan rasa hormat dan toleransi itu,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button