Berita UtamaDunia

Kem terbakar: 300 pelarian Rohingya masih hilang

45,000 pelarian larikan dari khemah buluh dan plastik

COX’S BAZAAR, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Kira-kira 300 pelarian muslim Rohingya masih hilang seminggu selepas kebakaran melanda kem pelarian terbesar di Bangladesh, kata agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

“Ramai keluarga masih berkumpul semula,” kata jurucakap agensi pelarian PBB, Andreij Mahecic sambil menambah bahawa 11 kematian telah diumumkan secara rasmi.

Kebakaran besar melanda kem yang sesak di daerah Cox’s Bazar pada Isnin lalu memaksa sekitar 45,000 pelarian melarikan dari khemah buluh dan plastik mereka.

Beberapa pegawai berkata, kebakaran bermula di satu daripada 34 kem yang terletak dalam kawasan seluas kira-kira 3,237 hektar.

Ia kemudian merebak ke tiga lagi kem sehingga menyebabkan pelarian terpaksa melarikan diri dan membawa barangan yang sempat diselamatkan.

Difahamkan, kejadian itu merupakan kebakaran ketiga yang berlaku dalam tempoh empat hari di kem tersebut.

Hampir satu juta penduduk minoriti muslim dari Myanmar kebanyakannya melarikan diri daripada operasi tentera bagi menentang kumpulan militan Rohingya di negara mereka pada tahun 2017 ke Bangladesh.

Para pelarian itu kemudian ditempatkan di daerah Cox’s Bazar, tenggara negara tersebut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button