Marwan Barghouti dijangka dipilih jadi Presiden Palestin: Tinjauan
78 peratus rakyat Palestin dijangka keluar mengundi

BAITULMAQDIS, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Pemimpin kanan Fatah yang kini dipenjarakan di Israel, Marwan Barghouti dijangka mendapat undi terbanyak, sekiranya mencalonkan diri sebagai presiden, kata Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Palestin, Khalil Shikaki.
Bercakap mengenai tinjauan terbaru yang dilakukan oleh pusatnya, Shikaki mengatakan bahawa 78 peratus rakyat Palestin yang layak akan mengundi dalam pilihan raya akan datang.
Sekiranya Barghouti bertanding, termasuk pemimpin Fatah dan Hamas, dijangka 79 peratus rakyat Palestin akan turut serta dalam pemilihan Parlimen, demikian menurut tinjauan itu.
Beliau berkata, 27 peratus pengundi akan memberikan undi mereka kepada Hamas, 24 peratus kepada Fatah, 20 peratus kepada Barghouti dan tujuh peratus untuk kepada bekas pemimpin Fatah, Mohammad Dahlan.
Shikaki mengatakan bahawa tinjauan itu meminta para responden untuk memilih calon presiden pilihan mereka.
Hasil tinjauan mendapati 22 peratus menyokong Marwan Barghouti, 14 peratus memilih Ismail Haniyeh, sembilan peratus mengatakan Presiden sekarang Mahmoud Abbas akan menerima undi mereka dan tujuh peratus mengatakan Dahlan.
Beliau menekankan bahawa Barghouti akan memenangi pilihan raya presiden melainkan Fatah dan Hamas menentangnya.
Barghouti yang ditangkap oleh rejim Zionis pada April 2002 ketika ini menjalani lima hukuman penjara seumur hidup setelah didapati bersalah kerana peranannya dalam beberapa serangan maut sewaktu menentang pendudukan Israel di Palestin.
Pada bulan Januari, Abbas mengumumkan, pilihan raya umum 2021 akan merangkumi pilihan raya legislatif pada 22 Mei, pilihan raya presiden pada 31 Julai, dan pilihan raya Majlis Kebangsaan Palestin, badan pembuat keputusan tertinggi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), pada 31 Ogos. – Agensi