Berita UtamaDunia

Palestin terima 100,000 dos vaksin Sinopharm sumbangan China

69,000 penduduk Palestin sudah terima dos pertama, 7,600 lagi suntikan kedua

BAITULMAQDIS, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Warga Palestin pada Isnin menerima 100,000 dos vaksin Sinopharm COVID-19 yang disumbang oleh China.

Sumbangan itu dilakukan bagi memperluas program vaksinasi ke atas kakitangan perubatan, warga emas dan pesakit kronik, lapor Reuters.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin perlu memvaksinasi 5.2 juta penduduk yang tinggal di Tebing Barat dan Gaza menggunakan vaksin disediakan oleh negara haram Israel, Russia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan program Pembekalan Vaksin COVID-19 Ke Negara Miskin (COVAX).

Setakat ini, lebih daripada 69,000 warga Palestin telah menerima dos pertama vaksin, manakala sekitar 7,600 lagi sudah menerima suntikan kedua, menurut Kementerian Kesihatan.

Selepas penghantaran vaksin China, Menteri Kesihatan Palestin, Mai Al-Kaila berkata, pihaknya akan terus memvaksinasi kakitangan perubatan awam dan swasta termasuk ahli farmasi serta doktor gigi yang memberi manfaat kepada penduduk.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Palestin (PA) merancang untuk melindungi 20 peratus rakyat Palestin melalui mekanisme COVAX.

Pegawai PA berharap dapat memperoleh vaksin tambahan meliputi 60 peratus di Tebing Barat dan Gaza, yang dikendalikan oleh pemimpin Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas).

Selain itu, pegawai kesihatan melaporkan bahawa sebanyak 227,808 kes COVID-19 dan 2,511 kematian direkodkan sejak wabak itu bermula. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button