Berita Utama

Pasca PAU 2020: Apakah UMNO kini di landasan betul?

Jajaran baru selain BN, MN boleh berlaku hanya selepas PRU15

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak dinafikan telah memberi banyak kesan dan hikmah buat ahli parti secara keseluruhannya baik pada akar umbi mahupun pimpinan tertinggi.

Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, tumbangnya UMNO pada PRU dahulu memberi pengajaran dan sekali gus membawa semangat baharu seperti yang dapat dilihat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 hujung minggu lalu.

“Ahli UMNO kembali bersepadu dan bersemangat seperti yang ditunjukkan semasa PAU 2020. Solidariti ahli akar umbi terhadap institusi presiden kembali mantap. 

“Semangat perjuangan asal ahli UMNO tanpa mementingkan kebendaan dan keuntungan peribadi kini telah meresap kembali di jiwa pimpinan dan ahli akar umbi.

“Dengan semangat yang ditunjukkan oleh pimpinan dan perwakilan UMNO di PAU 2020, adalah diharapkan agar parti keramat orang Melayu ini terus istiqamah dalam menempuh hari-hari mendatang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu berkata, UMNO mendapat semangat baru untuk kembali memegang tampuk kekuasaan. 

Malah, katanya, UMNO boleh berkompromi dengan parti lain yang menerima asas perjuangannya di bawah Barisan Nasional (BN).

“Jajaran baru dengan parti-parti selain BN dan MN (Muafakat Nasional) boleh berlaku hanya selepas PRU15 demi kestabilan politik. UMNO kini telah kembali berada di landasan yang betul. Kejayaan kini semakin menghampiri,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya selepas PRU15, BN dan GPS tidak dapat majoriti mudah untuk memerintah, BN boleh mempelawa parti lain untuk bersama.

Sementara itu, mengulas persoalan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, semalam mengenai siapa calon yang akan diketengahkan BN untuk menjadi Perdana Menteri, Shahbudin berkata, secara lazimnya ia mengikut tradisi dan hierarki parti.

Pun begitu, beliau berkata, Vigneswaran tidak sewajarnya mempersoalkan perkara itu. 

“Sebenarnya UMNO tidak ketandusan pemimpin mengikut hierarki parti. Daripada presiden, timbalan, naib dan ketua sayap semuanya mempunyai kredibiliti, UMNO tiada masalah ‘Chain of Command’ mengikut kekananan.

“Kenyataan Presiden MIC itu bolehlah diibaratkan tidak mengikut perkembangan semasa. Tidakkah beliau tahu bahawa Presiden UMNO telah mendapat kepercayaan dan mandat daripada majoriti perwakilan di PAU pada 28 Mac yang lalu?,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketidakyakinan kepada Presiden UMNO boleh menyebabkan hubungan antara MIC dengan UMNO dikaji semula. 

“Lagipun selama ini MIC tidak mampu untuk mendapatkan majoriti undi kaum India untuk menyokong BN.

“Sebenarnya BN mempunyai banyak alternatif sama ada parti kaum India seperti Makkal Sakthi atau parti pelbagai kaum untuk menggantikan MIC. Dalam memilih rakan kongsi, UMNO disaran memilih parti yang punyai pengaruh dan menambah kekuatan pada BN.

“Sebelum ini, UMNO sangat bermurah hati untuk memastikan BN diwakili oleh pelbagai kaum tapi akhirnya kawasan-kawasan tersebut tewas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button