Berita UtamaIstimewa

Peguam Negara diminta jujur beri penjelasan muktamad kes Adib

Bolehkan keluarga Allahyarham hidup tenang mengetahui kesudahan kes

BANGI, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu melakukan satu penyelesaian muktamad yang jujur, ikhlas dan telus berkaitan kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menerusi surat terbuka, peguam, Muhammad Haniff Khatri Abdulla berkata, perkara itu penting supaya keluarga Allahyarham dapat meneruskan kehidupan dengan kepastian mengetahui kesudahan kes terbabit.

Beliau berkata, kesudahan kes sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib berbanding tergantung begitu sahaja.

“Seperti yang Tan Sri sudah sedia maklum, setakat pada tarikh surat ini, sudah lebih dua tahun empat bulan berlalu sejak kematian Allahyarham Adib pada 17 November 2018, dan sudah lebih satu tahun enam bulan sejak keputusan mahkamah inkues pada 27 September 2019.

“Dan juga sudah satu bulan setengah sejak kenyataan Tan Sri bahawa pejabat Tan Sri akan membuat keputusan muktamad.

“Namun, kesemua pihak yang terkesan terutamanya keluarga Allahyarham Adib serta majoriti rakyat Malaysia yang prihatin masih menanti keputusan muktamad kes Allahyarham Adib ini,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Peguam Negara (AGM) perlu memberi penjelasan lengkap dan telus supaya dapat diterima oleh keluarga serta rakyat Malaysia khusus berkaitan siasatan dilakukan polis berkaitan identiti suspek.

Hal ini kerana katanya, jawapan yang benar perlu dijelaskan dengan telus dan ikhlas serta bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga tanpa kelengahan lanjut.

“Ini akan memberi keyakinan kepada kesemua pihak bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pejabat Tan Sri sememangnya konsisten dalam pematuhan prinsip kedaulatan undang-undang dan keyakinan secara pasti dapat kembali dipulihkan.

“Rakyat Malaysia yang prihatin yang juga termasuk keluarga Allahyarham Adib sedia tahu dan dapat terima hakikat sebenar bahawa dalam sesetengah jenayah terpencil yang berlaku.

“Walaupun ada mangsa yang terjejas dan jenayah sememangnya berlaku, namun tidak semestinya penjenayah terbabit dapat dikenal pasti atau diberkas dan dibawa ke muka keadilan atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan,” jelasnya.

Allahyarham Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Allahyarham Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini, pembunuh Allahyarham masih belum ditemui sekali gus menunjukkan kes kematian anggota bomba itu seolah-olah gagal menemui titik noktah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button