Berita Utama

PEMBELA serah memorandum kes kalimah Allah 2.0 kepada MAIWP

MAIWP maklum sudah hantar permohonan jadi pencelah

BANGI, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyerahkan memorandum kes kalimah Allah 2.0 kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), semalam.

Delegasi gabungan NGO-NGO Islam itu diketuai Haji Rashidi Haris, turut serta anggota Sekretariat PEMBELA Pusat iaitu Mohammad Syahnis, Imran Harith dan Aizat Rahimi.

Memorandum kes Kalimah Allah 2.0 itu diterima oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya.

PEMBELA menerusi kenyataan di Facebook berkata, MAIWP memberikan respon yang sangat positif dalam isu berkenaan dan memaklumkan mereka sudah menghantar permohonan untuk menjadi pencelah dalam rayuan kes kalimah Allah 2.0.

“Selain itu, MAIWP juga memaklumkan kepada kami yang mereka akan membuat program-program berbentuk wacana, diskusi, meja bulat dan sebagainya khusus untuk isu kalimah Allah 2.0 ini.

“MAIWP juga menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan pihak NGO-NGO Islam dalam isu-isu agama seperti isu kalimah Allah ini dan berharap akan ada lebih banyak sesi pertemuan sebegini untuk bertukar-tukar maklumat dan pendapat.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh MAIWP dalam isu ini.

“Tambahan pula, MAIWP merupakan sebuah badan agama berautoriti di peringkat Persekutuan dan bernaung di bawah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 15 Mac lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button