Berita Utama

Pernah beri amaran pada Bersatu kesan kerjasama dengan UMNO: Tun M

'Tak boleh kerjasama dengan orang yang dihadapkan ke mahkamah'

KUALA LUMPUR, 16 Syaaban 1442H, Selasa – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui tidak terkejut apabila berlakunya konflik dan hubungan tegang antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

Ini kerana, kata bekas Pengerusi Bersatu itu, mustahil bagi parti yang kuat untuk berkerjasama dengan parti baharu.

Pemimpin berusia 95 tahun itu berkata, beliau pernah memberi amaran kepada kepemimpinan Bersatu mengenai kesan kerjasama dengan UMNO.

Namun, kebanyakan pemimpin dalam Bersatu tidak mengambil peduli, sebaliknya menyatakan mampu menangani sebarang masalah berbangkit susulan kerjasama tersebut.

“Waktu itu (sekitar penghujung Februari 2020), ada juga cadangan hendak lantik saya jadi Perdana Menteri dalam gabungan baharu.

“Saya kata tidak boleh hendak bekerjasama dengan orang yang dihadapkan ke mahkamah, dan saya bagi amaran bukan senang bagi Bersatu hendak bekerjasama dengan UMNO.

“UMNO lebih kuat daripada Bersatu dan Bersatu parti baharu, jadi mereka kata boleh tangani masalah.

“Sekarang ini kita lihat, UMNO tidak mahu Bersatu, dan dia pun ada masalah dengan parti lain. Parti PAS juga ada masalah,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, bercakap kepada wartawan semasa berjalan kaki di Pantai Chenang, Langkawi, pada hari ini.

Pada hari Ahad (28 Mac), usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO, yang merupakan urusan dua hari dari 27 Mac hingga 28 Mac.

Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan bahawa keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah muktamad.

Beliau mengatakan tidak akan ada kerjasama dengan DAP, PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menambah bahawa tidak ada perbincangan dengan pihak lain, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

UMNO juga telah memberi mandat kepada presiden dan dewan tertinggi untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pada ‘bila-bila masa yang ia anggap sesuai’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button